Tuesday, June 14, 2016

BAHAS ALI BIJU, DEWAN UNDANGAN NEGERI SARAWAK, JUN 2016

Tuan Speaker, terima kasih kerana memberi ruang kepada saya untuk turut membahaskan usul penghargaan atas ucapan Tuan Yang Terutama Negeri Sarawak pada pembukaan mesyuarat pertama 8 June 2016 di dewan yang mulia ini. Sebelum saya berucap dengan lebih panjang, terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada rakyat N39 Krian kerana telah memberi mandat dan kepercayaan kepada saya untuk mewakili mereka bagi penggal kedua 5 tahun yang akan datang.
           
Tuan Speaker,

Skim Perkhidmatan Pembantu Pertanian Sarawak.

Merujuk kepada bahas saya di dewan yang mulia ini dalam sidang yang lalu pada April 2015, disini saya ingin sekali lagi mengemukakan masalah yang dihadapi oleh lebih kurang 600 pembantu pertanian di seluruh Sarawak dimana mereka masih belum lagi menerima gaji yang sepatutnya sudah dinaiktaraf jawatan kepada G27 daripada G17 mengikut Pekeliling Perkhidmatan  Bilangan 23 Tahun 2013. 

Tindakan Kerajaan Negeri Sarawak yang menangguhkan tunggakan gaji mereka yang sekian lama adalah amat tidak berpatutan memandangkan pembantu pertanian di semenanjung dan Sabah sudah menerima gaji skim G27 sejak 3 tahun yang lepas. Malahan, pembantu pertanian di Semenanjung dan Sabah akan dinaikkan lagi ke tahap yang lebih tinggi G29 pada bulan depan July 2016, sedangkan di Sarawak mereka masih ditaraf G17. 

Ini bermakna bulan depan kakitangan di Sarawak ketinggalan 2 tangga dibandingkan dengan rakan sejawat mereka di semenanjung. Oleh yang demikian, saya sekali lagi ingin menyeru agar Kerajaan Negeri Sarawak tidak menganak tirikan kakitangan nya sendiri dan dengan secepat mungkin melaraskan tunggakan gaji pembantu pertanian Sarawak selaras dengan rakan-rakan mereka di Semenanjung dan Sabah. 

Saya juga ingin meminta pencerahan sebab-sebab kelewatan kenaikan gaji tersebut. Sampai bilakah mereka menunggu kenaikan dari G17 ke G27 dan seterusnya ke G28 ?
           
Keadaan Infrastruktur dan Peralatan di SMK Saratok

Tuan Speaker, SMK Saratok merupkan salah satu sekolah luar bandar di mana kebanyakan para pelajarnya adalah terdiri daripada golongan bumiputra Iban dengan jumlah pelajar dalam lingkungan 1,000 orang. Di dalam dewan yang mulia ini, saya ingin mengenengahkan masaalah kemudahan infrastruktur dan peralatan yang sedang dihadapi oleh para pelajar dan tenaga pengajar sejak sekian lama. 

Asrama lelaki adalah dalam keadaan yang sangat usang dan perlu diperbaiki dengan segera. Kemudahan pelajar asrama seperti katil dengan lockers adalah sangat teruk sehingga menyebabkan kebanyakan pelajar asrama lelaki tidur di atas pelantar beramai-ramai kerana ketiadaan katil. Lockers tidak mencukupi dan yang ada pun keadaannya sudah rosak teruk dan sangat menyedihkan. 

Dalam masa yang sama, saya juga difahamkan bahawa Kerajaan sudah lama tidak memberikan peruntukkan untuk membeli katil dan lockers untuk pelajar asrama untuk Sekolah tersebut. Kalau dahulu dalam Tahun 70an, 80an dan 90an setiap pelajar asrama ada kemudahan katil dan locker sendiri, akan tetapi sekarang SMK Saratok nampaknya telah bergerak ke belakang. Usaha pihak PIBG membantu memperbaiki katil dan locker secara bergotong-royong amatlah dipuji namun begitu tindakan tersebut masih belum mencukupi. 

Bagi asrama perempuan pula keadaannya penuh sesak dan tidak mencukupi. Blok kelas satu tingkat yang mana sebahagian daripadanya diperbuat daripada kayu sudah reput dan dimakan anai-anai. Jalan untuk berjalan kaki yang menghubungkan kelas dan asrama patutlah disimen dan dibuat bumbung untuk keselesaan pelajar dimusim hujan dan panas. Setakat ini tidak ada jalan berbumbung di SMK Saratok. Jalanraya di kawasan sekolah banyak sudah pecah dan berlubang. 

Makmal Sains perlu dinaiktaraf dan diperbaiki. Bilik guru penuh sesak dan bocor bila hujan. Dewan serbaguna tidak pernah dibina sejak penubuhan sekolah tersebut pada Tahun 1962, menyebabkan semua aktiviti kokurikulum yang perlu menggunakan Dewan terpaksa dijalankan di dewan makan. Sekiranya aktiviti di dalam dewan dijalankan, maka meja dan kerusi terpaksa diangkut keluar dan akan diangkut balik selepas aktiviti tamat.  Pagar sekeliling sekolah tidak lengkap mengakibatkan pelajar dan orang luar sekolah senang keluar-masuk tanpa halangan. Ini menjejaskan keselamatan sekolah dan para pelajar.

Pada amnya, kerajaan telah mengabaikan kemudahan infrastrukur di SMK Saratok. Banyak permohonan bantuan sudah dihantar kepada kerajaan untuk memperbaiki kemudahan di SMK Saratok, tetapi malangya bantuan yang disalurkan amatlah tidak memadai. Rungutan daripada ibubapa dan pihak sekolah selalu didengari. Oleh sebab itu saya menyeru supaya pihak kementerian pelajaran memberikan perhatian khusus dan segera bagi menyelesaikan keadaan infrastukur di SMK Saratok dan membuat lawatan untuk melihat sendiri keadaan sekolah tersebut.

Projek Penanaman Getah Berkelompok

Tuan Speaker, beberapa projek penanaman getah di Krian sedang dijalankan oleh Jabatan Pertanian negeri Sarawak dan usaha begini menerima sambutan yang sangat baik dari penduduk tempatan. Akan tetapi sebahagian daripada projek tersebut mengalami masaalah kelewatan yang amat ketara. 

Projek Penanaman Getah Bukit Lugom sudah bermula lebh 5 tahun yang lalu. Kawasan tersebut sudahpun dibuat “clearing” dimana pokok getah lama ditebang. Tetapi usaha penanaman semula belum lagi bermula. Malahan tidak ada apa-apa aktiviti berlaku seolah-olah sudah ditinggalkan begitu sahaja. Oleh yang demikian, pekebun yang terlibat inginkan pencerahan apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh Jabatan Pertanian Sarawak untuk memulihkan semula projek tanaman getah Bukit Lugom? 

Selain daripada itu, saya juga meminta penjelasan akan status terkini projek tanaman getah di kawasan Krangan Rusa, Ibus, Nanga Lempa, Babang dan Mendas.


Pejabat Daerah Kecil Nanga Budu

Tuan Speaker, Pejabat Daerah Kecil Nanga Budu telah beroperasi sejak 6 bulan yang lalu. Rakyat di kawasan Krian Ulu amat berharap agar pejabat berkenaan boleh memudahkan lagi mereka berurusan dengan pihak kerajaan. Namun begitu harapan tersebut cuma tinggal harapan sahaja kerana pejabat tersebut hanya diuruskan oleh seorang pegawai rendah sahaja. Tidak ada apa-apa perkhidmatan yang boleh diberi kepada rakyat sejak 6 bulan lepas kerana kekurangan kakitangan. Oleh yang demikian, saya ingin mencadangkan supaya sekurang-kurangnya seorang SAO dan beberapa pegawai tadbir rendah ditugaskan di Pejabat Daerah Kecil Nanga Budu.


Bekalan Air Terawat

Tuan Speaker, seperti yang telah dimaklumkan oleh Menteri di dewan ini bahawa pembinaan Loji Air Bersih di Kaki Wong telah pun siap hampir 2 tahun yang lepas. Jumlah pengguna air bersih di Saratok bertambah secara mendadak kepada lebi kurang 13,000 biji meter air. Akan tetapi bilangan kakitangan yang menguruskan bekalan air di Saratok masih tidak bertambah. 

Kekurangan tenaga kerja yang digunakan untuk menyelenggarakan loji, tangki, booster pumps, pencatit meter dan pemasangan meter baru telah mengganggu keupayaan pembekalan air kepada pengguna. Maka dengan itu saya ingin menyeru agar  jumlah tenaga kerja ditambahkan secepat mungkin terutama penyambungan meter air baru demi menjaga kesihatan pengguna.

Ada beberapa kawasan di Krian masih lagi menunggu pembinaan paip utama seperti kawasan Mudong yang melibatkan 8 buah rumah panjang dan sebuah sekolah. Di kawasan Brayang dan Kedoh ada 10 buah rumah panjang yang belum disambungkan paip air dan Ulu Sebetan ada 4 buah rumah panjang dan sebuak sekolah rendah. 

Perkara yang anehnya ialah rumah panjang tersebut amatlah berdekatan dengan Loji Air Lichok, tetapi mereka dikemudiankan daripada menerima bekalan air bersih. Maka disini saya meminta pencerahan daripada pihak Kementerian berkenaan akan status perkembangan terkini perancangan pembinaan sistem paip ke kawasan Mudong, Berayang, Kedoh dan Ulu Sebetan.

Penukaran paip lama di Saratok juga masih lagi di dalam proses, oleh sebab itu ramai pengguna yang  ingin tahu status pembinaan projek penukaran paip lama di Saratok.
           

Pampasan Tanah di Kawasan Loji Air Lichok

Tuan Speaker, ada tuan tanah di kawasan Loji Penapisan Air Lichok membuat rungutan bahawa mereka mengalami kerugian kerana tanah dan tanaman mereka ditenggelami air di kawasan takungan. Kawasan yang ditenggelami air sekarang adalah lebih besar daripada yang dirancangkan. Maka saya meminta agar pihak yang terbabit iaitu JKR dan Jabatan Tanah dan Ukur membuat pemeriksaan untuk memastikan tuanpunya tanah mendapat pampasan yang sewajarnya diatas kerugian mereka.

Jalanraya       

Tuan Speaker, kemudahan infrastruktur jalanraya di Krian masih memerlukan usaha penurapan dan menaiktaraf. Beberapa jalanraya di Krian sudah pun diumumkan pembinaan naiktaraf oleh Timbalan Perdana Menteri pada pilihanraya yang lepas. Maka rakyat krian ingin meminta pencerahan akan status perkembangan terkini projek-projek tersebut.

  1. Penurapan Jalan Ulu Krian yang berjumlah RM 15 juta seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri pada lawatan beliau ke Rumah Jawie, Awas, pada bulan April 2016.
  2. Penurapan Jalan Kabo-Sg Bangkong yang berjumlah RM 8 juta.
  3. Menaiktaraf Jalan Krangan Rusa-Babang dan membina jambatan merentasi Sg Krian di Krangan Rusa.
  4. Menurap Jalan Bajau-Kupang dan pembinaan Jambatan merentasi Sg Krian yang berjumlah RM 100 juta.

Selain daripada itu, rakyat juga meminta pencerahan akan projek jalanraya dimana permohonan peruntukan kepada kerajaan Persekutuan telah pun dibuat mengikut keterangan yang diucapkan oleh Menteri berkenaan pada sidang dewan yang lepas.
  1. Menaiktaraf Jalan Ulu Awik 13.5km dengan anggaran perbelanjaan RM67.8 juta. 
  2. Menaiktaraf Jalan Ulu Paku/Nanga Alum/Pakan 11.8km dengan anggaran RM88.5 juta.
  3. Menurap Jalan Mudong
  4. Pembinaan Jalanraya ke Rumah Ibi, Nanga Ibus
  5. Mengambilalih dan menaiktaraf Jalan Nanga Drau oleh JKR

Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar

Tuan Speaker, pemasangan bekalan elektrik di Krian berjalan memuaskan dimana hanya rumah panjang di kawasan Kabo Ulu dan 2 buah sekolah rendah masih didalam proses penyambungan. Tetapi bagi kawasan Brayang, Rumah Bujang Duat masih lagi belum disambungkan bekalan elektik. Maka saya ingin meminta penjelasan akan status penyambungan bekalan elektrik di kawasan berkenaan?
           
Dengan ini, saya ingin mengakhiri ucapan saya dengan mengucapkan Selamat Gawai Dayak dan Ngiling Bidai kepada yang meraikan Gawai Dayak dan Selamat menyambut bulan ramdhan dan Hari Raya Adilfitri bagi yang berugama Islam.

Ali Biju
N39 Krian
13 Jun 2016

No comments: