Sunday, March 27, 2016

BARU BIAN: HARAPAN DIPERBAHARUI


MESEJ EASTER 2016
Dalam mesej Easter saya pada tahun lepas, saya menulis tentang masalah teruk dan cabaran yang telah dialami oleh negara ini dan menggalakkan semua orang untuk tidak kehilangan harapan, bahkan dengan harapan itu kita boleh bertindak dengan melibatkan diri dalam pelbagai cara yang berbeza untuk membawa peningkatan kepada masyarakat dan negara kita. Sejak itu, keadaan semakin merundum dalam setiap aspek. Kenaikan besar harga barang, kemerosotan ekonomi dan nilai mata wang, penindasan dan ugutan politik, kekangan akhbar dan pengucapan awam, skandal rasuah, penelitian antarabangsa yang memalukan, dan sebagainya. Seseorang itu tidak boleh dipersalahkan kerana berfikir bahawa ini adalah sebuah negara yang suram yang tidak mempunyai harapan. Justeru, ramai yang meninggalkan negara ini untuk mencari kehidupan yang lebih baik di tempat lain. Malah, ia telah didedahkan di Parlimen beberapa hari lalu bahawa purata 35.5 rakyat Malaysia menolak kewarganegaraan mereka pada setiap hari.

Pada Easter ini, mesej saya adalah untuk berpegang teguh kepada harapan. Iman Kristian berlandaskan harapan dan keselamatan oleh Yesus apabila dia mati di atas salib untuk menebus dosa-dosa kita dan kemudian bangkit pada hari ketiga. Pemahaman teologi adalah bahawa Yesus telah menakluk maut dan dosa, kuasa kegelapan yang telah menindas manusia. Di Taman Eden, Tuhan berkata bahawa Yesus akan menghancurkan kepala ular tetapi dengan berbuat demikian, ular itu akan melebamkan tumitnya. Demi menghancurkan syaitan, Yesus harus mati, tetapi ia bukan satu kematian kekal kerana dia bangkit semula, itulah 'lebam' YESUS.

Secara rohani, ia membantu kita memberi tumpuan kepada aspek iman Kristian kita apabila memikirkan situasi yang semakin buruk hari ini. Kita tidak boleh tunduk kepada ketakutan dan putus harapan, tetapi harus terus mendoakan transformasi negara ini. Mungkin Tuhan menjawab doa-doa kita melalui pakatan yang tidak dijangka oleh pelbagai orang dalam Deklarasi Rakyat baru-baru ini; mungkin juga tidak, tetapi perlu diingat bahawa Allah telah berkata, Bukankah Aku sendiri tahu rencana-rencana-Ku bagi kamu? Rencana-rencana itu bukan untuk mencelakakan kamu, tetapi untuk kesejahteraanmu dan untuk memberikan kepadamu masa depan yang penuh harapan’. [Yeremia 29:11].

Kesusahan selama bertahun-tahun mungkin kelihatan panjang dan ramai yang bertanya berapa lama lagi kita perlu bersabar dengan apa yang sedang berlaku di negara ini sebelum adanya perubahan. Ia bukanlah untuk kita tahu tarikh dan masa yang telah Allah tetapkan untuk kita, tetapi dengan ketetapan hati kita harus terus berdoa dan melakukan bahagian kita demi perubahan yang sangat kita perlukan. Apabila kita berdoa untuk kepimpinan yang lebih baik di negara ini, perlu diingat bahawa Allah ‘mengubah saat dan waktu, Dia memecat raja dan mengangkat raja, Dia memberi hikmat kepada orang bijaksana dan pengetahuan kepada orang yang berpengertian'. [Daniel 2:21].

Pemimpin-pemimpin politik pemerintah di negara ini mungkin berfikir bahawa mereka mempunyai kelebihan dan terus melakukan aktiviti-aktiviti meragukan dengan sewenang-wenangnya, tetapi sejarah telah membuktikan bahawa parti-parti politik korup yang memerintah tanpa mandat rakyat akhirnya akan gagal, walaupun mereka kelihatan di puncak kekuatan mereka. Kita hanya perlu melihat negara-negara di sekeliling kita, Burma dan Indonesia, yang boleh dikatakan dalam keadaan lebih buruk daripada keadaan kita, kini sedang berkembang pesat dengan pembaharuan dan meluaskan ruang demokrasi. Perubahan akan berlaku juga bagi kita. Marilah kita berdoa agar pada Pilihan Raya Sarawak yang akan datang, orang yang tepat akan dipilih supaya harapan kita akan menjadi kenyataan, bahawa kita akan melihat politik harapan dapat menewaskan politik ketakutan, rasuah dan penindasan.

Kepada semua umat Kristian, selamat menyambut Easter yang diberkati.


BARU BIAN
ADUN N81 Ba’Kelalan / Pengerusi, PKR Sarawak



No comments: