Tuesday, December 22, 2015

UCAPAN BARU BIAN SEMPENA HARI KRISMAS 2015


JALAN, KEBENARAN DAN KEHIDUPAN: HARAPAN TATKALA RASUAH DAN KEJAHATAN

Sejarah mencatatkan bahawa sentiasa terdapat perjuangan antara kuasa-kuasa baik dan
jahat, antara kegelapan dan cahaya. Laporan pada tahun 2003 menyatakan bahawa
daripada 3400 tahun yang lalu, keamanan hanya berlaku untuk tempoh 268 tahun, atau
hanya 8% daripada catatan sejarah. Tetapi adakah keamanan ditakrifkan sebagai ketiadaan
perang sahaja? Saya tidak fikir begitu. Walaupun tiada peperangan, sentiasa terdapat suatu
perjuangan untuk keadilan, kesaksamaan dan kebenaran.

Krismas ini, saya ingin mengingatkan tentang kelahiran Yesus itu sebagai pemberian
kepada manusia sebagai “Jalan, Kebenaran dan Hidup” (Yohanes 14:6) dan kepada
percubaan oleh kuasa-kuasa kegelapan untuk mengalahkan “Jalan, Kebenaran dan Hidup”
itu. Dari saat Dia dilahirkan, Yesus menjadi sasaran Herod yang bertekad untuk
memusnahkan Kebenaran dan Cahaya ini.

Selepas kelahiran Yesus, orang-orang majus dari Timur ingin sujud menyembah kepadanya. Dalam perjalanan, mereka bertemu Herod. Setelah diberitahu mengenai kelahiran Yesus, Herod memanggil orang-orang majus itu dan memberitahu mereka untuk "pergi dan cari dengan teliti anak itu. Sebaik sahaja anda jumpa Dia, laporkan kepada saya, supaya akupun boleh datang menyembah Dia” (Matius 2:8). Setelah diberi amaran dalam mimpi, orang majus tersebut tidak kembali kepada Herod setelah melihat Yesus, tetapi kembali ke negara asal mereka melalui laluan lain (Matius 2:12). Setelah menyedari dia telah dilepasi oleh orang-orang majus itu, Herod memerintahkan supaya semua bayi lelaki yang berumur 2 tahun ke bawah dibunuh. Yesus akhirnya dikhianati dan dibunuh tetapi "Jalan, Kebenaran dan Cahaya" tidak mati kerana pada hari ketiga Yesus bangkit semula memenuhi ramalan Alkitab, mesej utama Paskah dan Harapan.

Di negara ini, walaupun kita tidak terlibat dalam mana-mana peperangan, terdapat satu
perjuangan yang berterusan untuk kebenaran dan keadilan di tengah-tengah gejala rasuah,
pembunuhan dan pendakwaan yang berniat jahat. Hak-hak rakyat yang tidak berdosa
'sedang ditindas oleh golongan kaya dan berkuasa’. Orang-orang yang cuba untuk
menegakkan keadilan, kebenaran dan tadbir urus yang baik telah diganggu, ditangkap dan
dihukum. Kedaulatan undang-undang telah digantikan dengan penyalahgunaan undang-
undang. Pemberi maklumat, kumpulan hak-hak asasi, ahli-ahli parlimen, ahli-ahli akademik - tiada yang terkecuali.

Mesej yang ingin saya sampaikan Krismas ini ialah kita haruslah tidak mudah mengalah
biarpun berada di saat kegelapan. Kebenaran tidak boleh ditindas selama-lamanya kerana
cahaya akan bersinar menerusi awan gelap. Sama seperti “Jalan, Kebenaran dan Cahaya”
itu tidak mati dengan kematian Yesus, kerana Yesus bangkit hidup pada hari ketiga,
kebenaran dan keadilan tidak boleh selama-lamanya ditindas oleh sekumpulan penyamun

dan penindas. Ini kerana asas kerajaan Tuhan adalah kebenaran, keadilan, kasih sayang
dan kesetiaan seperti yang dimazmurkan dalam Mazmur 89:14, dan Dia "mengerjakan
kebenaran dan keadilan untuk semua yang tertindas" (Mazmur 103:6).

Sebagaimana yang telah diperkatakan oleh Mahatma Gandhi yang bijak, "Apabila saya
terdesak, saya akan ingat bahawa sepanjang perjalanan sejarah, jalan kebenaran dan kasih
sayang sentiasa menang. Terdapat puak penzalim dan pembunuh dan untuk suatu masa
mereka seolah-olah kebal tetapi pada akhirnya, mereka sentiasa jatuh - ingatlah sentiasa"
Kita mesti bersatu hati – jangan sekali-kali menyerah dan mengalah, kerana perubahan
boleh terjadi bila-bila masa sahaja.

Semoga kita diberkati Allah pada Hari Natal ini dan Selamat Tahun Baru.

BARU BIAN
Pengerusi
PKR Sarawak

No comments: