Tuesday, December 15, 2015

Ali Biju's debate speech DUN Dec 2015


Bahas by Ali Biju N34 Krian, Persidangan DUN Sarawak ke 17 
Tuan Speaker, terima kasih kerana memberi ruang kepada saya untuk membahas usul belanjawan rang undang-undang perbekalan 2016. 
Belanjawan Negeri Sarawak 2016        
Tuan Speaker, merujuk kepada Penyata Kewangan Majlis Daerah Saratok Berakhir 2014, saya ingin memberi pandangan mengenai beberapa isu yang telah pun saya bangkitkan pada sidang dewan yang lalu. Apa yang saya maksudkan ialah jumlah simpanan atau harta yang ditafsirkan dalam bentuk Wang Tunai Dalam Bank, Pelaburan Tabung Rizab dan Pelaburan Simpanan Tetap yang berjumlah keseluruhannya RM29 juta. Dibandingkan dengan Majlis Daerah Betong yang menyimpan hanya RM6 juta. Jumlah Simpanan sebanyak 29 juta ini adalah besar dan tidak seimbang dengan tanggungjawab sesebuah majlis daerah yang sepatutnya memberikan perkhidmatan dan kemudahan awam kepada rakyat khususnya di kawasan Saratok yang masih banyak memerlukan kemudahan asas seperti jalan-jalan kampung.  Dana simpanan yang besar seperti ini lebih menunjukan Majlis Daerah Saratok seolah-olah berfungsi sebagai sebuah firma pelaburan atau investment company. Penyimpanan dana mungkin bermaknafaat secara ekonomi untuk jangkamasa pendek bagi memaksimakan pendapatan sekiranya ada dana yang berlebihan. Tetapi memandangkan terdapat banyak keperluan-keperluan asas yang masih diperlukan di Saratok, saya ingin mencadangkan supaya sebahagian besar daripada dana tersebut wajar digunakan untuk membaikpulih dan membuat jalan-jalan kampung dan rumah panjang di Saratok. Banyak rungutan dan rayuan daripada penduduk Saratok berkenaan dengan usaha majlis yang tidak mengendahkan kerja-kerja membaikpulih jalan-jalan kampong. Saya percaya, hanya separuh daripada simpanan tersebut sudah memadai untuk membaikpulih hampir semua jalan-jalan kampong di kawasan Saratok. Pada sidang yang lalu, Menteri Kerajaan Tempatan telah memberi jaminan untuk menolong Majlis Daerah Saratok mengeluarkan simpanan tersebut, tetapi berdasarkan laporan kewangan itu, perkara ini masih lagi belum dilakukan. Maka disini sekali lagi saya menyeru Menteri Kerajaan Tempatan untuk mengambil tindakan yang sewajarnya untuk mengeluarkan sebahagian simpanan tersebut untuk kegunaan Majlis Daerah Saratok.
Projek Pertanian Sebagai Pembasmi Kemiskinan
Tuan Speaker, kita sedia maklum bahawa salah satu daripada usaha untuk membasmi kemiskinan di kawasan luar bandar ialah melalui program pertanian. Program penanaman getah secara berkelompok dan lada dari Jabatan Pertanian dan juga bantuan penanaman kelapa sawit melalui MPOB merupakan projek-projek bantuan yang amat dihargai dan digemari oleh pekebun-pekebun kecil di Saratok. Ramai pekebun-pekebun kecil atau smallholders telah mempertingkatkan taraf pendapatan mereka walaupun harga pasaran getah dan kelapa sawit tidak berapa menggalakkan. Penduduk-penduduk di luar bandar sendiri sudah sedar yang mereka tidak boleh mengharapkan sejenis tanaman dagangan sahaja, commercial crop, untuk menampung kehidupan keluarga mereka, sebaliknya mereka memerlukan 2 atau 3 jenis tanaman dagangan untuk menangani masalah-masalah harga pasaran yang tidak menentu. 
Oleh yang demikian, saya rasa usaha memberi bantuan penanaman lada perlu dipertingkatkan, yang mana harga pasarannya masih menarik. Dengan itu, di sini saya ingin mengetahui bagaimana status program bantuan lada yang akan dilaksanakan di Saratok? 
Masalah utama yang dihadapi oleh pekebun kecil adalah ketidaktentuan harga pasaran komoditi getah dan kelapa sawit, peningkatan harga baja dan racun yang berterusan semakin membebankan, dan kekurangan jalan kebun atau farm roads yang menghubungkan kebun mereka kepada jalanraya terdekat. Baru-baru ini, saya juga telah diberitahu oleh beberapa pekebun yang mengatakan kesangsian mereka pada kualiti baja yang dijual di pasaran. Mereka berkata kadang-kadang selepas menaburkan baja, mereka tidak nampak kesannya seperti dahulu walaupin menggunakan jenama baja yang sama. Maka, saya mencadangkan agar Jabatan Pertananian bersama dengan Jabatan Kimia, mengkaji secara saintifik kandungan kimia baja di pasaran dan menjamin kandungan baja-baja tersebut seperti yang sepatutnya.
Pencerobohan Kawasan Perkuburan Pendam
Tuan Speaker, pada sidang dewan yang lalu saya telah mengemukakan masaalah pencerobohan kawasan kubur, grave desecration, yang dibuat Tomb Raiders atau pencuri kubur. Akan tetapi baru-baru ini bukan sahaja harta orang mati di curi bahkan tanah orang mati pun nak diceroboh. Saya amat terkejut dan kesal dengan tindakkan oleh pemaju perumahan yang menceroboh kawasan perkuburan pendam orang Iban di Sungai Antu, Sibu seperti yang dilaporkan oleh suratkhabar beberapa hari yang lepas. Mengikut keterangan, tanah perkuburan tersebut pernah diguna bersama oleh 6 buah rumah panjang dari Bidut, Aup, Sungai Antu, Emperan Tekalong, Meluan dan Sungai Merah sejak tahun 1916. Oleh yang demikian, saya menyeru semua pihak yang berkenaan seperti Ketua Masyarakat setempat, Majlis Adat Istiadat Iban, pihak pemaju, Polis, Majlis Daerah Sibu, Jabatan Tanah and Ukur, bekerja-sama menyelesaikan masaalah pencerobohan ini. Kita tidak mahu kejadian yang tidak diingini berlaku terhadap mana-mana pihak. Mana-mana adat Iban yang berkaitan dengan tanah kubur seperti upacara miring dan minta ampun mestilah dilakukan untuk menghormati semangat nenek moyang mereka yang disemadikan di situ. Sekiranya pemindahan kubur terpaksa dilakukan nanti, mestilah mengikut kepercayaan adat resam orang Iban di situ.
Tanah Adat Bumiputra/Native Customary Land Right
Tuan Speaker, disini saya hendak membawa perhatian dewan yang mulia ini berkenaan dengan kes yang melibatkan TR Jambai dari Bekelit, seperti yang dilaporkan di suratkhabar tempatan. Saya amat terkejut apabila mendapat tahu bahawa TR Jambai telah dibelasah oleh sekumpulan lelaki yang menggunakan kenderaan company ladang. Sebelum dibelasah, TR Jambai telah dikepung oleh 2 buah kenderaan dan drama kejar-mengejar menggunakan kenderaan terjadi di Bandar Miri, sehinggalah beliau dirempuh dan kenderaan yang dipandu si mangsa terbalik di bulatan berhampiran dengan Balai Polis Miri. Kejadian malang ini bukan lakonan tetapi hakikat nyata nasib malang menimpa orang asal yang terpaksa mempertahankan hak tanah adat mereka. TR Jambai telah lama menghadapi ancaman yang sedemikian semenjak tahun 2008. Malahan kenderaan TR Jambai telah dibakar dihalaman rumahnya sendiri. Rumah beliau juga telah dibalingkan Molotov cocktail tetapi nasib baik kerana jiran bersebelahan sempat memadamkan kebakaran dari merebak. Banyak laporan polis telah dibuat namun ancaman dan ugutan masih berterusan terhadap TR Jambai, seolah-olah negeri kita yang kononnya aman damai tidak ada undang-undang dan polis, tiada sesiapa pun yang bertanggungjawab sudah dihukum dengan setimpalnya.
Seorang lagi penduduk Bekelit iaitu Jupan anak Uvat telah dilanggar oleh kenderaan company pada 2 Nov 2015 yang lalu, dimana beliau mendapat kecederaan di di bahagian pinggang. Malahan, Peguam Pemerhati yang mewakili penduduk Iban Rumah Jambai juga terpaksa membuat laporan polis kerana bimbang akan keselamatan diri.
Memandangkan perbalahan diantara orang asal dengan company semakin panas, saya menyeru di dewan yang mulia ini menggesa supaya siasatan dan tindakan yang tegas, adil dan telus dibuat oleh polis agar kepercayaan rakyat kepada polis tidak diragui. Masyarakat dayak memerhatikan dengan teliti apakah tindakan undang-undang yang akan diambil oleh pihak polis terhadap sesiapa yang terlibat membelasah TR Jambai. Kes ini adalah kes yang emotional bagi ramai orang dan kita tidak nak perkara yang tidak diingini melibatkan kecederaan atau nyawa berlaku sekiranya tidak ditangani dengan adil dan saksama.
Tuan Speaker, It is opportune for me to point out in this Honourable Dewan at this juncture that the world is celebrating Human Right Day today. And in conjunction with it, a delegation of natives from across Sarawak have presented a memorandum to the Right Honourable Chief Minister’s Office this morning to highlight the plights of the native Sarawakian to NCR land and their interests. As a signatory of the United Nation Declaration of Right of Indegenous People, I am hopeful that this government will exercise more and greater political will to safeguard the rights and interests of our native communities in Sarawak. 
Pejabat Daerah Kecil Nanga Budu
Tuan Speaker, disini saya ingin mengalukan pembukaan Pejabat Daerah Kecil Nanga Budu untuk memberi perkhidmatan kepada penduduk desa yang terletak di kawasan Krian Ulu. Dengan itu, saya juga ingin bertanya apakah jenis perkhidmatan yang disediakan? Saya berharap agar perkhidmatan-perhidmatan yang disediakan akan merangkumi kategori-kategori perkhidmatan yang sebanyak mungkin . Saya juga berharap agar perkara-perkara yang berkaitan seperti jumlah kakitangan yang bertugas dan bangunan-bangunan kerajaan yang sudah usang hendaklah diambil kira dengan sewajarnya,
Bekalan Air Terawat
Tuan Speaker, seperti yang telah dimaklumkan oleh Menteri di dewan ini bahawa pembinaan Loji Air Bersih di Kaki Wong telah pun siap awal tahun ini. Tetapi yang anehnya, setelah hampir setahun daripada tempoh siap tersebut, hanya beberapa buah rumah panjang sahaja yang telah mendapat bekalan air terawat. Maka, disini saya ingin meminta penjelasan mengapakah penyambungan meter air ke rumah-rumah yang berhampiran sangat perlahan? Apakah langkah yang akan diambil untuk mempercepatkan kerja-kerja penyambungan meter air ini? Saya juga ingin bertanya, adakah pihak kerajaan akan menyediakan kakitangan dan tenaga kerja yang mencukupi, untuk menampung jumlah pengguna yang akan bertambah secara mendadak? Di sini, saya juga ingin mencadangkan supaya kerajaan mengambil lebih ramai tenaga kerja seperti pentadbir dan pekerja operasi untuk menyelenggarakan sistem loji dan pembahagian air melalui paip, tangki, booster pumps, pencatat meter dan sebagainya. Pengguna-penguna amat mengharap dan menghargai bekalan air terawat ini setelah sekian lama menunggu. Kesihatan para pengguna yang memerlukan bekalan air bersih perlu diutamakan. 
Jalanraya        
Tuan Speaker, saya ingin sekali lagi menagih janji Perdana Menteri untuk menurap jalan Ulu Awik dan Ulu Krian secara keseluruhan seperti yang beliau ucapkan pada tahun 2011 semasa PRN 10 yang yang lalu. Pada masa sekarang kedua-dua jalan tersebut hanya telah diturap sepanjang 12km sahaja setiap satu. Ini bermakna hanya separuh sahaja kedua-dua jalan ini sudah diturap.
Saya sedia maklum bahawa projek menurap jalan Ulu Budu dan Babang sedang dilaksanakan dan berharap akan disiapkan dalam masa yang terdekat. Akan tetapi projek menurap jalan SESCO Ulu Paku/Nanga Alum Grenjang/Pakan masih belum selesai. Oleh itu, saya ingin bertanya kepada Menteri bilakah projek-projek yang separuh siap ini akan disiapkan?
Saya juga mencadangkan supaya JKR mengambil alih penyelenggaraan jalan sepanjang 3km yang menghubungkan SK Nanga Drau dan 3 buah rumah panjang berdekatan. Jalan yang ada sekarang hanyalah jalan tanah merah dan dibina oleh penduduk rumah panjang dengan pihak sekolah secara gotong-royong pada awal tahun ini, oleh itu usaha menaiktaraf jalan ini tidak akan melibatkan bayaran pampasan tanah. Jalan ini amatlah merbahaya terutama semasa musim hujan kerana licin.
Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar
Tuan Speaker, hanya beberapa kawasan di Krian masih belum menikmati bekalan elektrik, iaitu rumah panjang sepanjang Ulu Kabo dan 2 buah sekolah. Maka disini saya ingin bertanya bilakah projek bekalan elektrik di kawasan ini akan disiapkan? 
Dengan ini, saya ingin mengakhiri ucapan saya dengan mengucapkan Selamat Menyambut Hari Krismas kepada yang berugama Kristian dan selamat tahun baru 2016 kepada semua.

Ali Biju
N34 Krian

No comments: