Tuesday, September 15, 2015

BARU BIAN: PERUTUSAN HARI MALAYSIA


16 SEPTEMBER 2015

Lima puluh dua tahun selepas pembentukan Malaysia, ramai di antara kita cuba untuk mencari sebab-sebab untuk meraikan peristiwa itu di mana nenek moyang kita adalah sebahagian daripadanya, dan yang memberikan mereka harapan untuk masa depan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia yang baru. Sekarang, untuk mencari alasan yang baik bagi meraikannya adalah satu perkara yang sukar untuk dilakukan.

Skandal rasuah 1MDB yang dikaitkan dengan PM yang telah memalukan negara di peringkat antarabangsa, kesusutan nilai matawang ringgit, dan sejak kebelakangan ini, kes pembunuhan model Mongolia Altantuya Shaariibuu yang ditimbulkan semula adalah antara beberapa faktor yang menyebabkan kebanyakan kita merasakan tiada apa-apa yang perlu diraikan. Keadaan ekonomi yang teruk akibat salah urus kewangan oleh kerajaan dan pelaksanaan GST menyebabkan beberapa premis perniagaan terpaksa ditutup manakala institusi keluarga mendapati mereka semakin sukar untuk menampung keperluan seharian.

Paling mengecewakan kita semua adalah perhimpunan 'baju merah' bagi menunjukkan Ketuanan Melayu yang dirancang pada hari yang sepatutnya kita sama-sama meraikan pembentukan sebuah negara oleh Sabah, Sarawak dan Malaya, di mana hak semua kaum adalah dijamin saksama dan adil. Di sebalik keterujaan meraikan perpaduan kaum, kaum bukan Islam di KL berkemungkinan menghadapi rusuhan kaum pada hari tersebut. Lebih menyakitkan hati adalah hakikat bahawa IbuPejabat UMNO telah mengarahkan bahagiannya untuk menyertai perhimpunan rasis ini. Adakah sesiapa perasan bahawa Perdana Menteri dan menteri-menteri beliau tidak menentang perhimpunan tersebut? Setelah setengah abad berlalu, kita masih lagi dibelenggu taktik pecah dan perintah yang telah digunakan oleh pemimpin-pemimpin ini untuk berpegang kepada kuasa.

Di Sarawak, orang-orang asli masih berjuang untuk hak-hak adat mereka terhadap kerajaan yang enggan mengakui hak-hak mereka, dan pada masa yang sama mengelirukan orang ramai yang kurang berpengetahuan bahawa kerajaan sebenarnya memberi mereka perlindungan di bawah Seksyen 6 Ordinan Tanah Sarawak. Hanya minggu lepas, TR Sandah terpaksa mempertahankan kesnya dalam rayuan yang dibawa oleh kerajaan negeri di Mahkamah Persekutuan. Walaupun pada malam sambutan Hari Malaysia, penduduk asal Sarawak tidak mempunyai kelapangan fikiran mengenai pemilikan tanah mereka, manakala pemimpin-pemimpin politik dahulu dan sekarang dan keluarga mereka mengamalkan gaya hidup mewah yang dibiayai melalui hubungan politik.

Tambahan pula, terdapat peningkatan kesedaran di kalangan rakyat Sarawak bahawa Semenanjung Malaysia tidak memenuhi bahagian mereka dalam Perjanjian Malaysia dan bahawa kita telah diperdaya selama lebih 50 tahun. Royalti minyak yang rendah, peruntukan bajet yang tidak sama rata, infrastruktur yang lemah, penjagaan kesihatan yang tidak mencukupi dan kemerosotan taraf pendidikan adalah antara beberapa rungutan kita terhadap kerajaan Persekutuan di Semenanjung Malaysia.

Oleh itu, pada malam ulang tahun ke-52 Hari Malaysia, saya terpaksa memikirkan perjalanan yang telah kita lalui sebagai sebuah negara, kerana saya mencari sebab-sebab untuk meraikannya. Mengimbas kembali harapan nenek moyang kita untuk masa depan Sarawak dan bangsanya, saya merasakan bahawa mereka akan kecewa melihat situasi kita sekarang.  Tidak pernah mereka menjangkakan bahawa Sarawak, yang kaya dengan sumber semulajadi, akan menjadi antara ‘negeri’ yang termiskin di Malaysia; di sebalik menjadi rakan kongsi yang sama rata dalam Persekutuan, kita telah menjadi sebuah negeri dalam Persekutuan; bahawa orang-orang kita akan didakwa kerana mengamalkan agama kita yang telah diamalkan oleh nenek moyang kita sejak berabad-abad lamanya, dan Alkitab kita dirampas; dan bahawa pemimpin-pemimpin kita sendiri menyebabkan tanah kita dirampas, menyebabkan kita kehilangan hak warisan kita dan sumber kehidupan kita. Temenggong Jugah anak Barieng mungkin satu-satunya yang mempunyai firasat, seperti yang dibuktikan oleh nubuatnya dalam Iban “Anang anang Malaysia sebaka tebu, manis di pohon, tawal di hujung”. [“Let not Malaysia be like the sugarcane that is sweet at the head and less sweet at the end”].

Jadi, mengapa kita perlu meraikan? Bagi saya, jawapan yang nyata adalah - rakyat. Apa sahaja isu politik dan skandal rasuah, perselisihan kewangan, pemimpin yang tidak cekap dan mementingkan diri sendiri, bencana alam dan bencana lain yang dilemparkan kepada kita, dan walaupun terdapat  usaha-usaha pemimpin politik yang mementingkan diri untuk memecahkan rakyat dengan memainkan isu perkauman, rakyat biasa tetap kekal bersatu, baik hati dan berdaya tahan seperti yang dilihat dalam perhimpunan Bersih 4 baru-baru ini, menyekat sekumpulan kecil golongan pembenci di Semenanjung Malaysia.

Khususnya, saya meraikan semangat sesama rakyat Sarawak, rakyat pelbagai etnik yang hidup bersama selama bertahun-tahun dalam keharmonian sebenar, yang saling menghormati dan menerima perbezaan antara satu sama lain. Yang paling penting, saya meraikan hakikat bahawa rakyat Sarawak kini kian sedar tentang sejarah kita, dan hak yang dijamin menerusi Perjanjian Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Sarawak. Saya amat gembira kerana ramai yang mula mempertahankan hak-hak mereka dan terdapat keazaman agar suara kita perlu didengar.

Dalam kita melangkah ke separuh kedua abad ini sebagai rakan kongsi dalam Persekutuan Malaysia, marilah kita berfikir dengan teliti tentang apa yang kita mahukan buat anak-anak kita. Amat jelas bahawa perubahan adalah sangat-sangat diperlukan demi menyelamatkan Malaysia daripada pemimpin-pemimpin politik UMNO/BN yang membawa kita kepada kehancuran. Rakyat Sarawak berpeluang untuk memainkan peranan utama dalam membawa perubahan ini dalam pilihan raya Sarawak yang akan datang. Saya menyeru anda semua untuk mengatakan tidak kepada BN dan memberikan talian hayat untuk Malaysia dan rakyat Malaysia.

Tuhan Merestui Sarawak. Tuhan Merestui Malaysia

BARU BIAN
ADUN N70 Ba’ Kelalan






No comments: