Thursday, July 16, 2015

BARU BIAN: MESEJ HARI RAYA AIDILFITRI 2015




15 JULAI 2015

Sekali lagi, tempoh berpuasa sudah selesai dan saudara-saudara Islam kita meraikan kejayaan mereka mengawal diri serta nafsu, maka terhasilnya pembaharuan serta kesucian diri semasa Aidilfitri. Malangnya, musim Ramadan telah dicemari oleh beberapa insiden di mana beberapa individu telah cuba untuk memaksa pemikiran mereka terhadap sesuatu nilai kepada yang lain. Ramai rakyat Malaysia berasa kecewa kerana pemimpin kita tidak mengambil pendirian yang berani dengan menyatakan bahawa kita adalah sebuah negara sekular dan sifat kesederhanaan adalah penting untuk mengekalkan keharmonian yang telah wujud antara pelbagai kaum sejak bertahun-tahun lamanya.

Rakyat Malaysia dari pelbagai kaum dan agama berpuasa sebagai sebahagian daripada tanggungjawab agama mereka. Penganut Kristian diberi bimbingan oleh Matius 6: 16-18 yang menyatakan 16“Apabila kamu berpuasa, jangan bermuka muram seperti orang munafik. Mereka kelihatan menderita, sehingga semua orang tahu bahawa mereka berpuasa. Ketahuilah, mereka sudah menerima ganjaran. 17Apabila kamu berpuasa, basuhlah muka dan sikatlah rambut, 18 supaya orang tidak tahu bahawa kamu berpuasa. Biarlah hanya Bapamu yang tidak kelihatan itu yang tahu. Bapamu melihat perbuatanmu yang tersembunyi itu dan kamu akan menerima pahala daripada Dia.”

Mengenai amalan berpuasa bagi umat Islam, ulama terkenal dan ahli falsafah Tariq Ramadan telah berkata: "Kita perlu menguasai egoisme kita, dan melalui penguasaan ini, melangkah keluar dari diri kita dan mendidik diri kita dalam sifat memberi. Amalan berpuasa memerlukan kita mencari semula apa yang masih hidup di sekeliling kita, dan mendamaikan diri kita dengan alam sekitar kita." Dan "Daripada mencari di luar diri kita sendiri dan mengira musuh yang berpotensi, amalan berpuasa menyuruh kita untuk melihat kedalam diri kita sendiri, dan untuk mengambil kira cabaran yang paling hebat: iaitu diri kita, ego, di mata kita sendiri dan orang lain yang melihat kita ".

Mesej untuk orang Kristian dan orang Islam mempunyai elemen asas yang sama: amalan berpuasa merupakan perkara yang amat peribadi yang membantu meningkatkan kesedaran diri dan dengan itu membebaskan diri mereka daripada sifat ego. Oleh itu amalan berpuasa seharusnya menggalakkan kita untuk saling memahami dan menghormati hak masing-masing dan menerima perbezaan kita di dalam negara kita ini yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama.

Selama beberapa minggu yang lalu, negara kita telah digegarkan dengan skandal kewangan dan rasuah dalam institusi kerajaan kita yang melibatkan pemimpin-pemimpin kita. Pada masa yang sama, rakyat perlu mengikat perut akibat kos sara hidup yang kian meningkat disebabkan oleh kenaikan GST dan harga petrol. Mereka-mereka yang kaya dan berkuasa menikmati gaya hidup mewah yang dibiayai oleh pendapatan yang diperoleh melalui cara yang meragukan. Skandal akaun bank PM /1MDB , perbelanjaan boros isteri Perdana Menteri dan sekutu-sekutu beliau Jho Low, pengakuan anak gabenor kita yang bernilai RM1.185bil, dan keuntungan yang diperolehi oleh mega kaya dengan mengorbankan rakyat telah menjadikan kita tidak lagi percaya dan berasa bosan dengan pemimpin-pemimpin yang ada sekarang. Nampaknya godaan kekayaan telah menguasai dan mempengaruhi mereka dan ini mencerminkan cabaran besar yang perlu dihadapi negara ini.

Pada Aidilfitri ini, dalam kita meraikan kejayaan menahan diri serta nafsu, marilah kita berdoa agar kita akan pada suatu hari nanti akan mempunyai pemimpin yang layak diberi amanah oleh kita, dan yang akan menolak godaan rasuah dan ketamakan. Barulah boleh kita benar-benar meraikan kemenangan Aidilfitri.

Dengan itu, saya mengucapkan rakan Muslim Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Baru Bian
N70 Ba’ Kelalan


No comments: