3 APRIL 2015
HARAPAN-
HADIAH TERBAIK OLEH EASTER
3Terpujilah Tuhan dan Bapa Tuhan kita
Yesus Kristus, yang kerana rahmat-Nya yang besar telah melahirkan kita kembali
oleh kebangkitan Yesus Kristus dari antara orang mati, kepada suatu hidup yang
penuh pengharapan, 4untuk menerima
suatu bagian yang tidak dapat binasa, yang tidak dapat cemar dan yang tidak
dapat layu, yang tersimpan di syurga bagi kamu. 5Iaitu kamu, yang dipelihara dalam kekuatan Tuhan kerana imanmu
sementara kamu menantikan keselamatan yang telah tersedia untuk dinyatakan pada
zaman akhir. ` 1Petrus 1:3-5
Pada setiap perayaan Easter, di
sekitar bukit-bukit Long Semadoh akan bergema dengan salah satu sambutan terbesar
penganut agama Kristian iaitu perayaan Easter. Ini mengingatkan saya kepada
saat-saat sewaktu saya membesar di kampung-kampung yang indah, apabila
persediaan awal akan dilakukan untuk perayaan Easter. Beribu-ribu penganut kristian
Borneo Evangelical Church / Sidang Injil Borneo dari seluruh negara akan
berkumpul di satu tempat yang ditetapkan untuk perayaan yang dinamakan sebagai Irau
Easter, yang akan berlangsung selama beberapa hari.
Khemah-khemah besar yang
dikenali sebagai Sedayan, akan didirikan bagi menempatkan mereka-mereka dari
pelbagai kampung serta penceramah-penceramah dijemput dari negara jiran, seperti
Indonesia, untuk berucap semasa Irau Easter. Amalan ini telah bermula sejak
penubuhan gereja sehingga 70-an. Kemudian, sambutan seperti ini akan diadakan
di beberapa tempat yang berlainan, agar mereka-mereka yang tinggal terlalu jauh
tidak perlu memulakan perjalanan yang jauh bagi menyambut perayaan ini.
Easter dirayakan secara
besar-besaran kerana ia merupakan sambutan yang paling penting dalam kalendar
Kristian selain Hari Krismas. Peristiwa-peristiwa yang menandakan Easter ialah
peristiwa-peristiwa penting yang membentuk iman dan kepercayaan penganut
Kristian yakni kematian dan kebangkitan Yesus Kristus. Adalah melalui Easter
maka terbentuklah harapan penganut Kristian. Easter mengingatkan kita bahawa
tidak kira walaubagaimana buruk keadaan kita sekarang, kita tidak boleh berputus
asa kerana adanya harapan.
Tidak dapat kita nafikan
bahawa rakyat Malaysia pada masa ini berada dalam saat-saat yang paling
mencabar. Negara kita berada dalam masalah kewangan dan tiada siapa yang
bertanggungjawab bagi skandal kewangan yang telah mengheret negara kita ke
dalam masalah kewangan dan belenggu hutang-piutang. Rakyat Malaysia amat
bimbang tentang impak GST ke atas pendapatan mereka yang bak kata pepatah, kais
pagi makan pagi dan kais petang makan petang.
Pertubuhan pengganas ISIS yang
giat aktif merekrut rakyat Malaysia untuk menyertai aktiviti keganasan mereka, Perdana
Menteri yang kelihatan seperti tidak menyedari ketidapuasan hati rakyat; malah kita
dihidangkan dengan cerita-cerita mengenai gaya hidup yang mewah keluarganya. Di
Sarawak pula, rakyat kita tidak melihat sebarang peningkatan dari segi taraf
hidup dalam kehidupan mereka dan di kawasan luar bandar, banyak keluarga-keluarga
juga bimbang tentang masalah sosial yang melanda masyarakat kita seperti
penyalahgunaan dadah, alkohol serta judi haram.
Hari Easter mengingatkan kita
bahawa kita mempunyai harapan dan kita mempunyai kuasa untuk berubah.
Sebahagian besar daripada masalah yang dihadapi oleh kita adalah diakibatkan
oleh sikap mementingkan diri sendiri - tindakan yang mementingkan diri sendiri
daripada orang-orang yang menyalahgunakan kuasa mereka untuk kepentingan diri
mereka sendiri. Mereka yang ingin melakukan perubahan perlu sedar bahawa mereka
perlu keluar dari kehidupan biasa mereka dan datang bersama-sama untuk melakukan
perubahan. Janganlah kita berharap secara pasif.
Jika
kita bersama-sama memanfaatkan kuasa untuk berubah, maka perkara yang baik-baik
belaka pasti boleh berlaku - perpaduan adalah kekuatan. Kita perlu berusaha
melibatkan diri kita dalam aktiviti kemasyarakatan, menyertai NGO dan
parti-parti politik yang berani bersuara untuk kebenaran dan keadilan. Ia tidak
akan membawa sebarang manfaat kepada masyarakat kita jika kita tidak mengambil berat
dalam mengetahui tadbir urus negara kita. Tanggungjawab kita kepada negara dan
generasi akan datang memerlukan kita untuk melibatkan diri, dan dengan ini, barulah
kita akan mempunyai harapan untuk masa depan yang lebih baik.
Akhir sekali, saya mengucapkan selamat
menyambut Hari Easter kepada semua penganut Kristian.
Baru Bian
ADUN N70 Ba’ Kelalan
~ “Wah! Permulaan
pembinaan mereka sudah begitu hebat, ternyata tiada yang mustahil bagi mereka
kelak jikalau mereka berhasrat untuk melakukan sesuatu, kerana mereka ini
sebangsa dan sebahasa. [Genesis 11:6]~
No comments:
Post a Comment