Monday, April 27, 2015

DUN April 2015: ALI BIJU'S DEBATE SPEECH


Bahas YB Ali Biju, N34 Krian
Terima kasih Tuan Speaker kerana memberi ruang kepada saya membahas usul penghargaan atas ucapan yang disampaikan oleh TYTYang d-Pertua Negeri Sarawak pada 21 April 2015.

Pelarasan Skim Perkhidmatan Pembantu Pertanian dan Pembantu Veterinar, Negeri Sarawak
Tuan Speaker, merujuk kepada Pekeliling Kerajaan Malaysia, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 13 Tahun 2013. Disini saya ingin tahu kenapa Kerajaan Negeri Sarawak sahaja yang belum menerima pakai pekeliling tersebut, sedangkan semua kerajaan negeri di seluruh Semenanjung dan Sabah telah menggunakan pekeliling tersebut dimana pembantu pertananin G17 telah dinaikkan taraf jawatan ke G27. Ini adalah tidak adil sama sekali kepada kakitangan di Jabatan Pertanian Negeri Sarawak yang kebanyaknya adalah golongan sokongan. Terdapat lebih kurang 600 lebih Pembantu Pertanian di seluruh Negeri Sarawak yang belum lagi menikmati skim baru ini sedangkan rakan sejawat mereka di seluruh Semenanjung dan Sabah telah menikmati skim gaji baru tersebut sejak dari tahun 2013 yang lalu. Saya menyeru Ketua Menteri Sarawak supaya melaksanakan pekeliling perkhidmatan tersebut secepat mungkin bersesuaian dengan jasa mereka kepada rakyat. Mereka memainkan peranan yang amat penting didalam program pembasmi kemiskinan luar bandar di negeri ini.

Cadangan Pewujudan Jabatan Veterinar Sarawak
Tuan Speaker, pada masa sekarang Jabatan Veterinar di negeri Sarawak adalah dibawah kuasa Jabatan Pertanian Negeri Sarawak. Akan tetapi Jabatan Veterinar di Semenanjung dan Sabah telah diasingkan  dari Jabatan Pertanian. Di Semenanjung dikenali Jabatan Perkhidmatan Veterinar manakala di Sabah dikenali sebagai Jabatan Haiwan dan Perusahaan Ternak. Sekiranya pentadbiran veterinar ini masih diserapkan di bawah Jabatan Pertanian, dari pandangan saya ianya pasti akan menyebabkan banyak kerugian iaitu,
1)  Kurang peruntukan dari Kerajaan Persekutuan,
2) Kurang kapasiti untuk membangunkan industri ternakan. Sebagai contoh, di Sabah ada lebih 100,000 ekor lembu manakala di Sarawak hanya 20,000 ekor lembu.
 3) Kekurangan tenaga kerja yang mencukupi untuk membuat pemeriksaan kesihatan awan dan memantau kualiti daging agar segar dan selamat dimakan,
4) Kekurangan upaya membenteras penyakit zoonatik sekiranya ada wabak seperti Penyakit Selsema Burung, Rabies dan Penyakit Nipah.
         
MRP Fund
Tuan Speaker, dewan yang mulia ini telah mengagihkan belanjawan yang banyak untuk projek luar bandar dan ini amatdialu-alukan. Sebahagian daripada belanjawan negeri Sarawak diperuntukkan untuk dana khas setiap kawasan dewan undangan negeri yangdikenalisebagai MRP atau Minor Rural Project Fund, tetapi hanya boleh disalurkan oleh Wakil Rakyat dari BN. Memandangkan kita di Sarawak telah menjadi Negeri contoh kepada ‘Perpaduan dalam Kepelbagaian”, saya juga percaya kita boleh menjadi negeri contoh kepada “Pentadbiran Yang Adil” kepada semua lapisan masyarakat. Maka di dewan yang mulia ini, saya ingin menyeru dan meminta dengan hormatnya jasa baik dari Ketua Menteri Sarawak untuk mengubah atau melonggarkan polisi penggunaan dana MRP kepada Wakil rakyat dari Pembangkang seperti keputusan yang pernah diusahakan oleh Kerajaan Selangor dan Pulau Pinang.Saya pasti, “Pentadbiran yang Adil” khususnya dalam penyaluran dana MRP akan dihormati dan disanjungi oleh semua lapisan masyarakat.Yang pentingnya rakyat jelata sama sama merasai kekayaan Negeri ini secara adil dan saksama tanpa mengira fahaman politik. Saya faham cadangan saya ini mungkin sukar dilaksanakan tetapi dengan budi bicara dan keprihatinan Ketua Menteri kita, saya berharap agar seruan ini dipertimbangkan dengan sewajarnya.Kita juga sentiasa menyokong dasar kerajaan yang memberi manfaat kepada rakyat.Oleh itu saya amat bersetuju dengan kenyataan Kemena seperti di Utusan Borneo bertarikh 26 April 2015 dimana beliau berkata “Sama Besaup Ngangkatka Tikas Pengidup Bansa Dayak”. Pada hakikatnya kita harus faham tanpa dana adalah sukar memberi khidmat yang memuaskan kepada rakyat. Dari pengelaman saya sejak 4 tahun menjadi wakil rakyat, allowance sebagai ADUN yang berjumlah RM22,500.00 sebulan tidak memadai walaupun kesemua allowance tersebuttelah digunakan untuk memberi khidmat bantuan kepada rakyat di N34 Krian.

Perlantikan Tuai Rumah      
Tuan Speaker, ada beberapa isu-isu yang timbul berkenaan dengan perlantikan tuai rumah di kawasan Krian. Ramai daripada tuai rumah belum menerima surat kuasa untuk melanjutkan perkhidmatan mereka. Pada tahun 2014, ramai tuai rumah yang tamat tempohnya hanya diberi suratkuasa untuk tempoh 1 tahun. Mengikut adat tradisi masyarakat Iban di Krian, tuai rumah adalah ditentukan oleh penghuni rumah panjang itu sendiri tanpa campurtangan daripada mana mana pihak. Mereka mengadakan “aum” yang melibatkan setiap pintubilik yang mempunyai “adat-sempekat” bersama untuk memilih siapa yang paling layak dan disukai di kalangan mereka sendiri  menjadi tuai rumah. Individu yang tidak ada “adat sempekat” atau orang luar dihalang sama sekali mengambil bahagian dalam prosesmenentukan tuai rumah. Kadang-kadang proses penentuan ini mengambil masa yang lama dan sukarkerana masalah mendapatkan persetujuan bersama. Setelah menentukan siapa paling layak menjadi tuai rumah dan mengikut peraturan dari Pejabat Daerah, tuai rumah baru bersama dengan anakbiak akan memilih JKKK mereka, membuat minit mesyuarat secara bertulis dan ditandatangani oleh semua wakil pintu-bilik dan akhirnya dihantar ke Pejabat Daerah atau Pejabat Residen dibawah Yang d-Pertua Negeri, untuk diberi suratkuasa dan dilantik sebagai tuai rumah yang sah dan dihormati.Sekiranya ada individu atau parti yang campurtangan dalam hak penentuan tuai rumah, bukan sahaja tindakan tersebut tidak bermoraldan melanggar “adat-sempekat” bahkanseterusnya boleh memecahbelahkan rumah panjang. Penentuan lantikan tuai rumah tidak boleh sama sekali berlandaskanfahaman politik sebagaimana yang tertera di dalam “Community Chiefs and Ordinance, 2004”Section 8(1a) yang mana melarang Ketua Masyarakat atau Kaum memegang apa apa jawatan di dalam parti politik. Baru-baru ini ada tuai rumahmengadu yang mereka difahamkan bahawa sesiapa tuai rumah yang tidak menyokong ahli politik atau parti politik tertentu tidak akan dilanjutkan tempoh perkhidmatannya. Kononnya tuai rumahtelah diwajibkan oleh pihak-pihak yang tertentu untuk mengambil ahli baruuntuk menyertai parti tersebut dan difahamkan tidak akan diserahkan “suratkuasa Tuai Rumah” jika gagal dalam usaha mengambil ahli baru. Kononnya juga, tuai rumah terpaksa ke Kuching secara peribadi berjumpa dengan ahli politik untuk menandatangani suratlantikan tuai rumah yang biasanya ditandatangani oleh Pegawai Daerah. Ada tuai rumah yang baru ditentukan oleh rumah panjang mendapat kesukaran kerana tuai rumah yang lama disambungkan perkhidmatannya tanpa persetujuan anakbiak.Sehinggalah ada pepatah baru yang dibuat khas di Krian, “Tekura ke gawa, lelabi ke bulih gaji”. Maksudnya, tuai rumah baru yang buat kerja, tetapi tuai rumah lama yang dapa gaji. Keadaan yang diceritakan kepada saya ini tidak beretika sehingga boleh merosakan keharmonian di kalangan rakyat. Sayasendiri berharap agar kenyataan tuai rumah initidak berasas. Oleh sebab yang demikian, saya dengan hormatnya berharap Pakan selaku ahli parlimen Saratok dimana DUN N34 Krian berada, boleh memberi ulasan sedikit mengenai situasi perlantikan tuai rumah yang saya rasa boleh menimbulkan kekecohan di kalangan penghuni rumah panjang di Krian yang selama ini harmoni dan ber-adat.

Jalanraya
Tuan Speaker, kerja menambah baik jalanraya Ulu Awik dan Ulu Krian fasa pertama sudah siap tetapi hanya separuh daripada keseluruhan dimasukkan dalam kontrak dan yang separuh lagi belum dibuat. Perdana Menteri semasa melawat Pekan saratok tahun 2011 mengumumkan dan meluluskan projek mengetar Jalan Ulu Awik dan Jalan Ulu kKrian. Oleh sebab itu rakyat masih menagih janji tersebut yang hanya separuh ditunaikan.
Di kawasan N34 Krian, ada sebuah rumah panjang yang belum lagi disambungkan dengan jalanraya, iaitu Rumah Ibi, Nanga Ibus, yang cuma 2 km dari hujung jalan terdekat. Pecah tanah pun sudah dibuat sebanyak 3 kalidalam tempoh 10 tahunsetiap kali sebelum pilihanraya! Dan yang lebih menyedihkan penduduk Rumah Ibi terpaksa menggunakan perahu kecil pegi-balik ke Pekan Roban melalui Sungai Seblak yang sangat popular dengan buayaganas. Sejak beberapa tahun yang lalu ada 5 kes penduduk sepanjang Sungai Seblak dibaham buaya, malahan sepupu saya sendiri menjadi mangsa buaya ganas tersebut. Saya sendiri telah mengunjungi Rumah Ibi sebanyak 3 kali dan setiap kali saya menaiki perahu kecil dengan moto sangkut, setiap kali itulah saya sendiri terserempak dengan buaya di tepi sungai dekat dengan perahu. Bayangkanlah Tuan Speaker, betapa seram bila terlimpas dengan buaya yang bersadai secara dekat. Juga, bayangkanlah penduduk di Rumah Ibi terpaksa mengharungi pengelaman yangsama setiap hari sejak bertahun-tahun yang lepas. Maka tak hairanlah kalau sang buaya yang kelaparan mengambil kesempatan membaham manusia. Apa yang menghairankan saya ialah Majlis Daerah Saratok ada dana simpanan yang amat banyak iaitu RM29 juta pada Dec. 2013 dan tidak memberi peruntukkan yang secukupnya untuk membina jalan kampung ka Rumah Ibi !.
Projek menurap jalan SESCO yang dipanggil Jln Meroh Ulu Paku/Nanga Alum Grenjang/Pakan yang sepatutnya siap mengikut jadual asal pada tahun 2010juga masih belum selesai lagi. Setakat ini hanya dari Jalan Pakan ka Ulu Budu sudah siap diturap, tetapi dari Ulu Budu ka Ulu Paku masih belum bermula.
Kerja menurap Jalan Engkudu sedang dilaksanakan. Jalan-jalan lain yang perlu diturap Jalan Klua-Sungai Antu, Jalan Ulu Budu, Jalan Nanga Drau, Jalan Bajau-Abu Bengang, Jalan Babang

Bekalan Air Bersih
Tuan Speaker, seperti yang saya sudah maklumkan di Dewan ini, pembinaan Loji Perawatan Air Saratok di Kaki Wong, Krian, telah menghadapi masalah kelewatan. Pembinaan bermula pada 02 December 2011 dan mengikut jadual asal loji tersebut sepatutnya siap pada 01 Jun 2013. Malangnya, sejak tarikh siap tersebut tidak dapat dicapai, pembinaan telah tertangguh sebanyak 5!! Tempoh kontrak pembinaan asal ialah 17 bulan tetapi sekarang berlarutansehingga melebihi 49 bulan. Memandangkan kelewatan pembinaan yang teruk tersebut, saya ingin tahu berapa banyak LAD (Laquidated Ascertained Damages) sudah dikenakan terhadap kontraktor yang bertanggungjawab.
Musim kemarau akan bermula tidak lama lagi, saya khuatir penduduk Saratok akan menghadapi krisis ketiadaan air yang teruk seperti tahun lepas. Hari Gawai Dayak dan Hari Raya sudah dekat, kalau boleh saya berharap bahawa pengguna dapat bekalan air bersih sebelum Hari Gawai Dayak tahun ini.
Walaupun kawasan Saratok belum lagi mendapat bekalan air dari loji di Kaki Wong, tetapi ada khabar mengatakan air dari situ sudah dibekalkan ke kawasan Debak. Pengguna merungut kenapa mereka yang berdekatan tidak mendapat bekalan air terlebih dahulu.
Seperti yang telah dinyatakan oleh Balai Ringin, kawasan “intake station” di Kaki Wong jugamenghadapi keadaan yang sama, berdekatan dengan kubur. Oleh itu, saya minta JKR atau Jabatan Kimia memberi jaminan kualiti air yang dirawat demi untuk meyakinkan pengguna.
Penyambungan paip untuk kawasan Mudong dan Brayang masih belum dimulakan. Pengguna ingin tahu apalah status perancangan atau pembinaan paip ke rumah mereka. Penduduk di kawasan Brayang merungut kenapa nereka yang tinggal berdekatan dengan Loji Air Lichok tetapi tidak dibekalkan dengan air bersih.
Apakah status penukaran paip lama ke Pekan Saratok, memandangkan pengumumannya telah dibuat 2 tahun yang lepas.

Bekalan Elektrik Luar Bandar
Ada beberapa kawasan di Krian masih lagi belum mendapat bekalan elektrik. Kawasan tersebut adalah semua rumah panjang di Ulu Kabo termasuk 2 buah sekolah, iaitu SK Lempa dan SK Nanga Apan. Disini saya ingin tahu bilakah pembinaan bekalan elektrik akan bermula untuk kawasan tersebut.
Juga pengguna di kawasan Mudong ingin tahu bila pembinaan bekalan elektrik kawasan mereka siap? Merekaberharap akan dapat menggunakan bekalan elektrik tersebut pada musim Gawai Dayak bulan depan.
Tuan Speaker, dengan ini saya ingin mengakhiri ucapan saya dengan mengucapkan Selamat Hari Gawai Dayak.

No comments: