Monday, January 12, 2015

Rakyat Sarawak mahu menjadi guru


January 11, 2015
Guru-guru dari semenanjung tidak mempunyai motivasi untuk bekerja di Sarawak.
baru bian sarawakLAWAS: Lebih banyak sumber diperlukan untuk memperbaiki sistem pendidikan negara dan dalam kes Sarawak lebih banyak guru tempatan diperlukan.
Adun Ba Kelalan Baru Bian percaya bahawa peranan guru dalam memberi inspirasi kepada anak-anak muda adalah penting.
Beliau membangkitkan kebimbangan Timbalan Menteri Kebudayaan dan Warisan dan adun Belaga Liwan Lagang tentang jumlah rendah bilangan penduduk tempatan yang ditugaskan sebagai guru di Sarawak.
“Salah satu aduan yang saya telah dengar berkali-kali adalah bahawa walaupun sesetengah guru yang ditugaskan di sekolah-sekolah kita merupakan pemegang ijazah, mereka tidak dilatih sebagai guru,” kata Baru yang juga ketua Pakatan Rakyat (PR) Sarawak. “Oleh itu, mereka tidak mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk pekerjaan mereka. Tidak guna kita menugaskan seorang yang mempunyai ijazah psikologi untuk mengajar sains atau geografi.”
Menurut Baru, dalam situasi lain, ada mereka yang dilatih sebagai guru ditugaskan untuk mengajar mata pelajaran di luar bidang mereka.
“Dalam banyak kes, kejutan budaya dan keadaan yang tidak mengizinkan di sekolah-sekolah pedalaman mempunyai kesan yang tidak menyenangkan ke atas guru-guru dari semenanjung sehingga mereka tidak mempunyai motivasi untuk bekerja,” tambah Baru.
Adun Ba Kelalan itu juga turut berkata bahawa beliau juga turut mendengar kes-kes di mana guru-guru tempatan terpaksa mengambil alih tanggungjawab mereka yang tidak mempunyai semangat untuk melakukan kerja mereka.
Baru turut membangkitkan persoalan mengapa rakyat Sarawak, walaupun memenuhi semua syarat dan kelayakan, masih tidak diterima oleh kebanyakan institut perguruan (IPG).
“Terdapat ramai rakyat Sarawak yang mampu dan sanggup dilatih untuk mengajar di bandar-bandar dan kampung-kampung. Mereka patut diberikan peluang untuk menjadi ahli profesion yang mulia ini,” kata Baru.
Beliau menyeru Kementerian Pendidikan untuk menangani isu-isu ini dengan serius, jika tidak Sarawak akan terus menjadi negeri termiskin di Malaysia.

~ Free Malaysia Today

No comments: