Wednesday, January 14, 2015

PERPADUAN ASAS PEMBANGUNAN MAMPAN


14/1/15

Kenyataan Akhbar

Pertama sekali  saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang telah membatalkan ceramah yang hendak dianjur oleh Pusat Penerangan Islam, yang telah menimbulkan bantahan dari kalangan penganut kristain Sarawak.  Ceramah yang bertajuk Mohammad  saw dalam kitab Injil telah menarik perhatian penganut kristain seluruh Sarawak dan telah menimbul keresahan di kalangan penganut kristain.

Kerajaan sepatutnya meneliti dengan sewajarnya terlebih awal apa-apa aktiviti yang dianjur oleh agensi kerajaan atau ngo-ngo yang pro kerajaan seperti mana Kerajaan meneliti dengan bersungguh-sungguh aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh pihak Pakatan Raykat dan NGO-NGO yang pro kepada pembangkang.  Tindakan pro aktif harus dilakukan kepada semua keadaan bukan mengambil mudah tindakan-tindakan yang dilakukan oleh pihak yang pro kepada Kerajaan sahaja.

Kejadian begini tidak akan berlaku sekiranya semua pihak menghormati antara satu sama yang lain. Negeri Sarawak mempunyai rekod terbaik dalam menghayati kepalbagai kaum, budaya dan agama. Kebebasan bersuara dan undang-undang dan peraturan yang ada seharusnya digunapakai dengan sempurna.

Saya bukan menentang sebarang ceramah,  forum atau apa sahaja yang berkaitan dengan agama Islam, malah saya akan menyokong dan akan memberi sumbangan sebab saya ialah seorang penganut Agama Islam yang baik, tetapi eloklah dianjur pada tempat dan suasana yang sesuai. Mengggunakan Pusat-pusat pengajian tinggi dan rancangan menggunakan UNIMAS adalah tidak tepat memandangkan tempat tersebut kepunyaan semua;  bangsa dan agama, pusat ilmu dan pusat penyatuan ganerasi muda dari semua keturunan dan kepercayaan.

Kita mempunyai masjid, surau dan pusat-pusat Islam yang lain. Kalau di Kuching  kita ada masjid Jamek yang sangat besar dan indah, Dewan Bina, dan Dewan Baitulmal. Mengapa kita harus menggunakan UNIMAS.  Saya rasa tidak perlu. Jangan ada pihak yang sengaja membuat provokasi, sebab isu-isu begini memang termaklum. Semua faham akan kesan dan akibatnya.

Ruang dan masa untuk kita berdakwah sangat luas. Penganut Islam sendiri masih kehausan ilmu-ilmu Islam. Anak-anak Melayu atau kaum lain yang beragama Islam  masih memerlukan bimbingan dan asuhan. Di Kampung-kampung Melayu di persisir, muara, kuala dan disepanjang sungai Sarawak  sedang berhadapan dengan banyak masalah, termasuk masalah sosial. masalah ketagihan arak, penghiduan gam, curi, raggut dan sebagainya. Mereka ini memerlukan bantuan kita.  Berilah kesedaran kepada kelompok ini terlebih dahulu dan dalam masa yang sama kita melangkah lebih jauh nenerap fahaman agama kepada generasi-genarasi Muslim yang berpendidikan supaya mereka menggunakan ajaran agama itu untuk terus memandu kehidupan ke arah yang lebih sempurna.

Saya menyarankan semua pihak supaya jangan mengambil mudah tentang pentingnya perpaduan dan persaudaraan sesama masyarakat . Kerana perpaduan adalah asas kepada pembangunan, ketenteraman dan keselamatan sesabuah negeri. Dalam masa yang sama saya menyeru supaya rakyat berfikiran lebih terbuka dan rasional dalam menerima dan menolak sesuatu isu berbangkit. Kita tidak boleh dipandu oleh emosi  untuk “ kepenting diri atau kepentingan kelompok” tanpa memikirkan sensitiviti pihak yang lain.

Saya menyeru supaya masyarakat bertenang dan memberi keyakinan penuh kepada pihak berwajib menangani isu-isu berbangkit dengan sempurna.  Saya yakin Kepimpinan Dato Seri Adenan Satem, bersama pemimpin lain dan  pimpinan dari Parti Pakatan Rakyat dan badan-badan agama mampu  menyelesaikan sebarang isu berbangkit. 

Rakyat harus mengelak dari melakukan sebarang aktiviti yang boleh mengundang sensitiviti masyarakat atau agama Lain. Budaya toleransi masyarakat Sarawak sangat terkenal. Budi pekerti rakyat Sarawak mendapat pujian dari semua lapisan masyarakat termasuk dari masyarakat antara bangsa.

Suburlah budaya murni ini dengan ikatan kasih sayang sesama kita dengan tidak mengira kaum dan anutan.  Insya Allah, negeri kita akan aman dan makmur dan akan mendapat limpahan rahmah Allah swt.

Terima kasih.

ABANG ZULKIFLI BIN ABANG ENGKEH.
Ketua Cabang PKR Batang Lupar.

No comments: