Wednesday, December 24, 2014

BARU BIAN: MESEJ HARI KRISMAS 2014


MESEJ HARI KRISMAS 2014 YB BARU BIAN

Tahun ini, perkataan yang muncul di dalam fikiran saya tatkala saya merenung balik peristiwa-peristiwa yang telah berlaku sejak 12 bulan yang lepas adalah perkataan 'cinta', maka, mesej hari Krismas saya pada tahun ini akan berkisar tentang perkataan ini. Intipati iman Kristian kita adalah cinta. Pengajaran terbesar yang perlu dipelajari dari Alkitab adalah cinta. Salah satu ayat yang disebut dalam Alkitab ialah Injil Yahya 3:16 yang meletakkan iman kepercayaan kita: “Kerana demikianlah Allah mengasihi dunia ini sehingga deberikannya Anaknya yang tunggal, supaya tiap-tiap manusia yang percaya akan Anak itu tidak binasa tetapi beroleh kehidupan yang kekal.”

Sebagai orang Kristian, kita diseru untuk cinta dan saling mengasihi antara umat manusia. Sesungguhnya empat perintah pertama daripada Sepuluh Perintah Allah adalah mengenai mengasihi Allah dan enam perintah seterusnya adalah mengenai kasih sayang sesama manusia. Apabila diminta menamakan salah satu daripada Sepuluh Perintah yang paling besar, Yesus berkata "Hendaklah engkau mengasihi Allah Tuhanmu dengan segenap hatimu, dan dengan segenap jiwamu, dan dengan segenap fikiranmu. Inilah perintah yang terutamadan yang terpenting! Perintah terpenting yang kedua sama dengannya: ‘Hendaklah engkau mengasihi sesamamu manusia seperti dirimu sendiri.’ Segenap Taurat Musa dan pengajaran nabi-nabi bergantung kepada kedua perintah ini.” [Matthew 22: 37-40]. Jika perkataan dan perbuatan umat manusia adalah berdasarkan kedua-dua perintah ini, maka banyak daripada perselisihan dan konflik yang kita dapat lihat di dunia ini tidak akan wujud. Sesungguhnya, ianya semudah seperti ini.

Walau bagaimanapun, manusia cenderung untuk menjadi terlalu 'bijak' untuk menerima dan mengamalkan kebenaran yang mudah. Orang ramai didorong oleh naluri mereka seperti tamak, takut, cemburu dan benci, dan banyak orang yang masih hidup dalam kejahilan, tidak dapat membebaskan diri mereka daripada naluri yang merosakkan dan melumpuhkan minda dan hati mereka. Tindakan kekejaman – pembunuhan secara beramai-ramai manusia, wanita dan kanak-kanak - yang dilakukan di atas nama agama di pelbagai pelusuk dunia. Umat Kristian dahulunya pun telah melakukan kekejaman agama melalui perang-perang salib yang telah berjuang atas nama Allah. Hari ini, kumpulan pengganas seperti ISIS dan Taliban muncul di berita-berita harian, sambil mencetuskan ketakutan dan kebencian orang ramai. Di negara kita sendiri, orang-orang Kristian yang minoriti berasa diancam oleh kumpulan-kumpulan seperti Perkasa dan Isma dan pelampau dalam UMNO Baru, yang mendakwa diri mereka sebagai pelindung orang Melayu dan Islam terhadap ancaman yang hanya wujud dalam fikiran mereka. Isu 'Allah' masih lagi berterusan, walaupun jaminan oleh pihak berkuasa bahawa keputusan mahkamah adalah terhad kepada The Herald. Hak perlembagaan kita untuk kebebasan beragama telah dinodai, walaupun oleh mereka yang sepatutnya menjaga serta menjamin hak-hak tersebut. Agama digunakan sebagai alat oleh mereka yang terdesak dalam usaha untuk mengambil alih kuasa dengan bermain di atas kebimbangan umat Islam.

Ini adalah masa yang mencabar untuk umat Kristian di Malaysia. Ada yang mengatakan bahawa kita harus 'memberikan pipi yang lain' (‘turning the other cheek’) setiap kali kita dihina dan menjadi mangsa sementara yang lain merasakan bahawa kepala kita berkemungkinan akan hilang jika kita sentiasa beralih pipi selepas setiap tamparan.

Bagaimana harus kita bertindak balas terhadap mereka yang telah menyinggung perasaan dan menghina kita? Adakah kita harus membalas penghinaan dengan penghinaan dan kebencian dengan kebencian? Walaupun kita penuh dengan kemarahan, kita juga harus ingat pengajaran Yesus yang kita harus “berhati-hati seperti ular dan lemah-lembut seperti burung merpati” [Matius 10:16]. Bagi saya, ini bermakna bersuara terhadap salah laku dan ketidakadilan, dan tidak pernah mengabaikan kebenaran, dan berbuat demikian dengan tanpa kekerasan. Keganasan harus dijauhi. Apabila Peterus memotong telinga seorang hamba imam apabila Yesus ditangkap, dia telah ditegur oleh Yesus, yang berkata, "Sarungkanlah balik pedangmu, sebab semua orang yang menggunakan pedang akan mati dengan pedang.” [Matius 26:52] Walaupun dia telah mati di atas salib, Yesus tidak pernah berkata mahu membalas dendam ataupun membawa hukuman kepada mereka yang menyalibnya. Sebaliknya kata-kata terakhir beliau diucapkan dengan penuh cinta bagi orang-orang yang membunuh Yesus: "Ya Bapa, ampunilah mereka. Mereka tidak tahu apa yang mereka buat. "[Lukas 23:34] Pengajaran yang boleh dipelajari di sini ialah apabila orang lain melihat kita sebagai musuh mereka, kita tidak perlu melihat mereka seperti musuh kita. Kita digalakkan untuk mengasihi mereka yang telah menganiaya kita dan berdoa untuk mereka.

Saya bersyukur kerana rakyat Malaysia tidak pernah menggunakan keganasan walaupun telah diprovokasi oleh mereka-mereka yang tidak bertanggungjawab yang telah sengaja memecah-belahkan agama-agama di negara ini. Umat Kristian di Malaysia dan juga rakyat yang beragama lain berdoa untuk kembali ke zaman di mana wujudnya keamanan dan saling hormat menghormati di kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

Bersempena dengan musim Krismas ini, saya bersyukur kerana terdapatnya sekumpulan saudara-saudari Muslim yang telah digerakkan oleh belas kasihan dan kasih sayang untuk Malaysia dan kaumnya untuk bersuara untuk toleransi dan kesederhanaan di negara ini, dan ramai lagi rakyat Malaysia yang telah turut sama menyuarakan pendapat seperti ini. Sesungguhnya, kita adalah sebuah negara yang mempunyai rakyat yang pelbagai agama dan kaum tetapi yang cintakan keamanan dan keharmonian namun kita telah membiarkan sekumpulan kecil mereka-mereka yang sesat serta ekstrem terlalu lama. Ia tidak mewakili suara majoriti rakyat Malaysia. Minggu ini, saya telah melihat sedikit harapan serta janji hari yang lebih baik untuk masa depan yang akan datang.

Krismas adalah masa bagi kita untuk memperingati kelahiran Yesus, penjelmaan kasih Tuhan untuk kita. Pada hari Krismas ini, marilah kita memperingati bahawa cinta adalah suatu tindakan, dan bukan sahaja emosi. Dalam kata-kata Augustine of Hippo: 'Cinta dan katakan ia melalui hidup anda.’ [‘Love and say it with your life’.]

Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada semua umat Kristian dan untuk semua, Selamat Tahun Baru.

BARU BIAN
PENGERUSI, PKR SARAWAK/
ADUN N70 BA’KELALAN



No comments: