Sunday, July 27, 2014

UCAPAN BARU BIAN SEMPENA HARI RAYA AIDILFITRI 2014


Salam sejahtera,
Pada perayaan yang bermakna ini, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua penganut Islam khususnya yang berada di Sarawak. Perayaan ini sinonim dengan hari meraikan kemenangan setelah sebulan berpuasa di bulan ramadhan. Maka, saya berharap perayaan ini diraikan dengan penuh rasa kegembiraan atas tanda kesyukuran ke atas kurniaan-Nya. Saya juga berharap negara kita akan terus dirahmati dan diberkati Tuhan yang Maha Esa.
            Pada baru-baru ini, kita diberi dugaan yang begitu besar dengan berlakunya tragedi MH 17. Dalam menghadapi saat yang genting buat negara kita, sebagai rakyat Malaysia kita haruslah bersatu padu dan berganding-bahu dalam mengharungi ujian yang getir buat negara tercinta kita. Marilah kita semua menjadikan tragedi ini sebagai suatu peringatan untuk sentiasa menjalani kehidupan dengan penuh rasa kesyukuran. Sesungguhnya segala kemewahan yang kita nikmati adalah  kurniaan-Nya dan setiap dugaan mempunyai hikmah, kita perlu sentiasa berpegang teguh dengan ajaran agama supaya tidak terpesong dari jalan yang benar. Dalam bulan syawal ini juga, amalan bersedekah amat ditekankan. Bak kata pepatah, “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”, amalan ini sememangnya harus dipraktikkan kerana rezeki itu perlu dikongsikan dengan mereka yang memerlukan.
Saudara dan saudari,
            Di negara kita, setiap perayaan termasuklah Hari Raya Aidilfitri bukanlah perayaan semata-mata tetapi merupakan sebuah wadah bagi mengeratkan silaturahim antara satu sama lain kerana perayaan ini turut disambut oleh golongan bukan melayu. Sebagai warganegara Malaysia, kita haruslah menghargai dan meraikan kepelbagaian yang unik ini agar rakyat Malaysia boleh terus hidup dalam keamanan. Kita perlu sentiasa bertindak dengan berpaksikan fikiran yang melepasi sempadan perkauman. Sudah tiba masanya kita membuang segala perasaan syak wasangka sesama kita bak kata pepatah, “ambil yang jernih, buang yang keruh”. Cukuplah dengan sentimen perkauman yang dimainkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, jangan pula sampai keamanan negara dipertaruhkan. Maka, dengan ini saya menyeru semua agar mengambil kesempatan di bulan yang mulia ini untuk ziarah-menziarahi jiran tertangga bagi menyemarakkan lagi semangat perpaduan dalam diri kita.
            Akhir kata, kita harus sentiasa belajar dari sejarah hitam bagi membina semula dan memperkukuhkan menara kedamaian agar Malaysia akan terus gah perkasa dalam relung jiwa rakyatnya. Maka, di hari yang mulia ini, marilah kita sama-sama berdoa agar keamanan yang kita nikmati pada hari ini akan berpanjangan dan berkekalan.
Dengan ini, saya mengakhiri ucapan saya dengan sekali lagi mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri Minal Aidil Walfaizin. Maaf zahir dan batin.

Baru Bian
ADUN N70 Ba’ Kelalan


No comments: