Thursday, November 7, 2013

Sarawak dituduh cabul hak asasi Orang Asal



November 7, 2013
Pemusnahan alam sekitar secara terancang dan dahsyat ini telah membawa kesan yang tidak dapat dibaikpulih kepada komuniti bumiputera Orang Asal.
PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Sarawak di bawah pemerintahan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud dituduh mencabul hak asasi Orang Asal Sarawak secara konsisten dan berterusan melalui pemusnahan alam sekitar secara terancang di negeri itu.
Menurut satu siaran media Kumpulan Bertindak Menentang Pembinaan Empangan yang disokong oleh 80 kumpulan Masyarakat Sivil Malaysia (MSM) dari seluruh negara,  selain daripada pembinaan empangan janakuasa hidroelektrik di Bakun, Murum dan Baram yang menyaksikan orang-orang asal dipaksa untuk tinggal di penempatan semula, kerajaan negeri Sarawak turut dituduh merampas tanah milik orang asal untuk pembalakan haram, menyebabkan limpahan air sungai akibat dari pembinaan tiga empangan mega di Batang Ai, Bakun dan Murum dan sembilan lagi empangan di Baram dan daerah-daerah lain.
“Ia juga memindahkan monokultur minyak kelapa sawit secara berleluasa ke kawasan orang asal dan pencemaran di persisiran pantai Sarawak yang dihasilkan oleh industri-industri peleburan di kawasan industri (SCORE),” katanya.
Katanya lagi, pemusnahan alam sekitar secara terancang dan dahsyat ini telah membawa kesan yang tidak dapat dibaikpulih kepada komuniti bumiputera Orang Asal.
“Mereka telah melindungi hutan sejak zaman-berzaman sebagai sumber makanan, kawasan ladang kecil-kecilan, tempat penempatan (rumah panjang), tempat penyembahan dan tanah pengebumian mereka.
Jiwa
“Kehidupan mereka dan adat resam mereka bergantung kepada tanah-tanah mereka serta hutan-hutan yang tidak diteroka. Tanah adalah jiwa orang asal,” katanya lagi.
Tambah kumpulan itu lagi, petempatan semula orang asal secara paksa di Sungai Asap bukan sahaja mendatangkan kemiskinan dan kesusahan kepada komuniti orang asal tersebut, bahkan prasarana-prasana yang dipohon seperti sekolah dan klinik juga tidak mencukupi dan tidak dibina secara teliti.
“Penempatan baru yang disediakan kerajaan adalah sebahagian daripada kawasan ladang kelapa sawit dan tidak sesuai untuk penanaman padi bukit dan pelbagai tanaman lain. Penempatan tersebut juga terletak jauh daripada kawasan hutan yang pernah didiami mereka,”
“Di samping itu, kemudahan-kemudahan yang disediakan dibina secara tidak teliti dan sambil lewa serta kebanyakannya tidak berada dalam keadaan bersih dan selamat. Tambahan pula, keadaan hidup Orang Asal ini menyerupai keadaan di kem perlindungan orang pelarian,”
Kumpulan itu turut menyifatkan pengusiran orang asal dari tanah mereka sebagai satu bukti pemusnahan budaya.
Komuniti Penan di Murum telah memulakan kepungan (Blockade) kali ketiga pada sejak September 23 sebagai tindakbalas terhadap kegagalan kerajaan negeri Sarawak dan badan-badan berkaitan dengannya memberikan pampasan dan gantirugi yang adil.
Seluruh komuniti Penan termasuk wanita dan kanak-kanak telah berkumpul dan bertahan di bawah terik matahari dan hujan lebat semenjak enam minggu lepas bagi menyuarakan protes mereka.
Menghalang
Perkara yang sama turut berlaku di Baram oleh komuniti Orang Ulu sejak Oktober 23 bagi menghalang kerja-kerja pembinaan Empangan Baram daripada terus dijalankan.
Mereka, secara aman, telah meminta para pekerja di Empangan Baram untuk meninggalkan kawasan tersebut. Para pekerja empangan telah memenuhi permintaan mereka dan meninggalkan lokasi pembinaan secara aman. Kerja-kerja pembinaan Empangan Baram yang dilakukan telah dihentikan.
Selari dengan tuntutan orang asal di Murum dan Baram, MSM mendesak semua pihak yang terlibat untuk serta-merta menghentikan proses penakungan air di Empangan Murum, pembakaran rumah-rumah panjang komuniti Penan di sana serta segala kerja kaji selidik dan pembinaan Empangan Baram.
“Mereka perlu mengadakan rundingan secara adil dan terbuka dengan komuniti Penan tanpa ada unsur-unsur ugutan, paksaan, korupsi dan salah guna kuasa atau percubaan untuk membahagi dan memisahkan komuniti tersebut kepada kelompok-kelompok kecil,” tegas MSM di dalam siaran media yang sama.
Di amping itu, MSM juga mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menghentikan sekatan-sekatan jalan raya yang dijalankan oleh anggota polis bagi membolehkan bekalan makanan dan minuman, bantuan perubatan, sukarelawan, para wartawan dan pekerja media alternatif dapat keluar masuk ke Murum tanpa gangguan.
“PDRM juga perlu memberikan khidmat yang profesional dalam melindungi orang asal di Murum dan Baram yang cuma mempertahankan hak asasi mereka yang dikurniakan dan dilindungi di bawah Perlembagaan Malaysia,” katanya lagi.
~ Free Malaysia Today

No comments: