Tuesday, February 19, 2013

Tawaran baru Pakatan dalam Manifesto Rakyat


Jamilah Kamarudin

February 19, 2013
Bertemakan 'Pakatan Harapan Rakyat' menawarkan beberapa dasar yang digabungkan daripada Buku Jingga dan Dasar Bersama Pakatan Rakyat.
PETALING JAYA: Pakatan Rakyat memulakan langkah awal kempen pilihan raya umum (PRU) 13  dengan melancarkan Manifesto Rakyat pada Isnin depan.
Bertemakan ‘Pakatan Harapan Rakyat’, manifesto itu bakal menawarkan beberapa dasar yang digabungkan daripada Buku Jingga, Dasar Bersama Pakatan Rakyat serta program khusus yang diumumkan melalui Belanjawan Pakatan Rakyat 2012 dan 2013.
Ia akan dilancarkan semasa konvensyen Pakatan Rakyat Keempat pada 25 Februari depan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) dan akan dibentangkan bersama oleh Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, AJK PAS, Dr Dzulkifly Ahmad serta ahli parlimen DAP-Bukit Bendera Liew Chin Tong.
Rafizi, Sekretariat Jawatankuasa Dasar dan Manifesto Pakatan Rakyat berkata, beberapa pandangan dari memorandum dan cadangan yang disampaikan terus kepada pimpinan Pakatan Rakyat turut digarab dalam manifesto ini.
Katanya, pelancaran awal manifesto ini akan membuktikan komitmen Pakatan Rakyat untuk memastikan kempen PRU tertumpu kepada persoalan rakyat dan dasar untuk melawan politik perkauman dan fitnah yang dibawa Barisan Nasional (BN).
Tidak ganti Buku Jingga
“Kami mengalu-alukan perdebatan, pandangan dan kritikan sihat berhubung cadangan-cadangan yang dikemukakan dalam Manifesto Rakyat,”katanya dalam sidang media hari ini.
Kata Rafizi, setiap tawaran dalam manifesto akan dikemukakan bersama tempoh masa pelaksanaan yang akan dijanjikan.
Menurutnya, jawatankuasa terbabit mula bersidang untuk menghasilkan Manifesto Rakyat sejak September 2011 sebelum mendapat restu daripada Majlis Presiden Pakatan Rakyat.
Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkifly (gambar) berkata, walaupun Manifesto Rakyat bakal dijadikan satu panduan baru dalam menentukan hala tuju perjuangan Pakatan, namun dasar bersama dalam Buku Jingga masih dikekalkan.
“Manifesto ini tak gantikan Buku Jingga, cuma beberapa polisi baru akan dimasukkan yang akan diumumkan Isnin nanti,” katanya.
~ Free Malaysia Today

No comments: