Tuesday, March 6, 2012

KEADILAN gesa BN Sarawak mohon maaf pada OKU


KUALA LUMPUR 6 Mac: KEADILAN menggesa kerajaan Barisan Nasional (BN) Sarawak meminta maaf dan mengembalikan semula bantuan subsidi baja dan benih kepada pekebun kurang upaya, Frusis Lebi.
Naib Presiden KEADILAN, N. Surendran berkata, penarikan bantuan ini adalah satu tindakan yang melanggar undang-undang, memalukan dan tidak toleran.
“Dengan menghukum Frusis Lebi hanya kerana beliau menyokong pembangkang, kerajaan negeri melanggar hak perlembagaan beliau untuk bebas berpersatuan, di bawah artikel 10 Perlembagaan Persekutuan.
“Ia melanggar perkara paling asas dalam sistem demokrasi kita,” jelas Surendran dalam satu kenyataan.
Surendran mengulas laporan berkenaan surat arahan Menteri Muda Pertanian Sarawak Datuk Mong Dagang untuk menghentikan bantuan kebajikan dan pertanian kepada Frusis Lebi, petani kurang upaya yang menyokong pembangkang.
Perkara ini mula mendapat perhatian apabila surat bertarikh 8 Disember 2011 itu disebarkan di internet, terutamanya di laman sosial Facebook, dan mengundang kemarahan ramai pihak.
Akhbar bahasa Inggeris, The Sun semalam melaporkan, Mong Dagang mempertahankan tindakan beliau kerana bantuan kebajikan dan subsidi tidak boleh diteruskan kerana Frusis Lebi seorang penyokong pembakang ‘tegar’.
Mengulas lanjut, Surendran berkata, BN mempunyai rekod buruk berkenaan sensitiviti dan keperluan orang kurang upaya (OKU) apabila mengabaikan pendidikan, kemudahan awam dan peluang pekerjaan mereka.
“Kerajaan BN menganggap seolah-olah golongan OKU ini tidak wujud. Kumpulan pendesak OKU sudah lama menimbulkan isu ini tetapi sia-sia.
Justeru katanya, KEADILAN menggesa siasatan penuh dan telus berkenaan insiden ini dan tidakan tegas dikenakan kepada pihak yang didapati bertanggungjawab.
~ Keadilan Daily

No comments: