Monday, February 28, 2011

KENYATAAN AKHBAR UNTUK DIEDARKAN SERTA MERTA.

Oleh Baru Bian.

Pada hari Sabtu 26 Februari yang lalu, Pengerusi Pimpinan Negeri PKR Baru Bian mencabar Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud untuk berdebat mengenai isu NCR yang telah dikatakan “isu lapuk” oleh Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, Menteri Kedua Perancangan dan Pengurusan Sumber dan Menteri Kemudahan Awam.

Pada hari Isnin, 28 Februari, Ketua Menteri, seperti yang dilaporkan oleh akhbar Borneo Post, telah bersetuju untuk menyahut cabaran itu tetapi dengan syarat bukti-bukti perlu dikemukakan terlebih dahulu.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri kerana menyahut cabaran kami untuk berdebat. Kami berharap kebenaran akan diketahui oleh umum menerusi debat seperti itu nanti,” kata Bian.

“Mengenai permintaan Ketua Menteri akan bukti-bukti, kami ingin memberitahu beliau bahawa segala-galanya sudah kami sediakan. Bukti-bukti itu tidak akan kami kemukakan sekarang kerana ianya akan menghambarkan tujuan sebenar berdebat. Namun, kami ingin menarik perhatiannya bahawa bukti-bukti yang amat banyak yang telah kami kemukakan ke mahkamah untuk lebih 200 kes NCR yang belum lagi didengar yang mana Attorney-General juga menyedarinya. Kami juga akan mengemukakan bukti-bukti tambahan kepada bukti-bukti yang ada di mahkamah, ke debat untuk menyokong kes kaum asli yang kehilangan tanah-tanah NCR mereka, dan isu ini bukanlah isu lapuk,” kata Bian.

“Kami berharap Ketua Menteri tidak akan berpura-pura jahil akan bukti-bukti itu sebagai alasan untuk mengelakkan debat itu,” kata Bian.

“Dengan kesanggupan Ketua Menteri untuk berdebat, kami ingin mencadangkan beberapa tarikh padanya: Sabtu 5 Mac, Ahad 6 Mac atau Khamis 10 Mac. Masa dan tempat adalah pilihan beliau. Ketua Menteri, sila pilih satu tarikh,” kata Bian.

“Kami juga ingin mencadangkan para akademik Sains Sosial UNIMAS yang begitu arif dan faham akan isu-isu NCR untuk mempengerusikan debat itu nanti. Kami seterusnya mencadangkan agar debat itu diadakan di tempat awam yang luas seperti Borneo Convention Center Kuching atau di Stadium Perpaduan di Petrajaya bagi memudahkan orang awam datang dan mendengar pandangan dan pendapat Ketua Menteri dan saya sendiri,” kata Bian.

Ketua Menteri juga dipetik sebagai berkata “Kita akan akur dengan sebarang keputusan mahkamah walaupun tidak memihak kepada kerajaan” semasa menghadiri Perhimpunan Agung Tahunan SPDP pada hari Ahad 27 Februari di Bintulu sebagaimana dilaporkan dalam portal Sarawak Update (Jumpa saya Atau ke Mahkamah).

“Sahutan kami adalah terang dan jelas: tarik balik semua rayuan semula Kerajaan ke atas kes-kes NCR yang telah dimenangi oleh orang-orang asal. Keputusan-keputusan mahkamah telah memihak kepada orang-orang asli itu, tetapi kerajaan tetap berdegil merayu untuk menentang kes-kes itu. Adakah Ketua Menteri akan mengarahkan Attorney-General untuk menarik balik semua rayuan itu serta-merta dan berpegang kepada kata-katanya itu, atau adakah kenyataannya sempena Perhimpunan Agung Tahunan SPDP itu bersifat retorik semata-mata untuk mengelirukan rakyat lagi?” tanya Bian.

4 comments:

Anonymous said...

yeaaahhh, itu dia... Labang lawan menaning!!!

Anonymous said...

salah langkah pak uban..habis taib!!

Melody said...

Baru Bian is the real Dayak Leader

Anonymous said...

HAAAA...MAU DEBAT DENGAN ORANG TUA NANTI JATUH DIA PUNYA GIGI PALSU...HEEE....