Friday, December 3, 2010

BARU BIAN: SENTIMEN RAKYAT SARAWAK KINI LEBIH HANGAT BERBANDING TAHUN 1987

(An interview with the Merdeka Review)

by Lim Hong Siang

Pilihan raya negeri Sarawak pada tahun 1987 sememangnya igauan Barisan Nasional, menyaksikan bagaimana kebangkitan rakyat, terutamanya Dayak yang hampir menjangkau ambang untuk menggulingkan kerajaan BN di bumi kenyalang ini.

"Pada tahun 1987, sentimennnya Dayakism. Dayakism sangat hangat, menjadi tema, isu kempen. Sekarang ini bukan lagi Dayakism. Sekarang ini adalah keadilan. Sekarang ini adalah tentang tanah adat, yang memberi kesan bukan hanya kepada orang Dayak, tetapi Melayu dan juga orang Cina dalam perkara pembaharuan lesen. Yang ini kalau kita banding dengan...bagi saya dua tiga kali panas daripada 1987, pada isunya."

Begitulah keyakinan yang ada pada Pengerusi Perhubungan PKR Sarawak, Baru Bian (gambar kiri) dalam satu wawancara bersama MerdekaReview pada 26 November 2010, di Hotel Armada sebaik sahaja beliau mendarat di Selangor untuk menghadiri Kongres Nasional PKR yang berlangsung pada hari keesokannya.

Malah, beliau mengingatkan, "Kalau rakyat yang ingin berubah, anda tidak dapat menghentikannya." Dan mungkin itu sebabnya tema kempen Pakatan Rakyat kini berbunyi "Berubahlah, just change", katanya.

Dalam pilihan raya negeri Sarawak pada tahun 1987, Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) memenangi 15 kerusi DUN, ditambah 5 kerusi dari PERMAS, melalui pakatan yang bergelar Kumpulan Maju. Daripada jumlah 48 kerusi DUN, BN yang terdiri daripada PBB (14), SUPP (11) dan SNAP (3) hanya memperolehi 28 kerusi. Dengan kata lain, majoriti 2/3 BN di DUN Sarawak telah dinafikan.

Untuk Baru Bian, kuasa menumbangkan kerajaan BN di negeri Sarawak kini berada pada kemuncaknya dengan segala syarat yang sedia ada. Dari segi persefahaman di kalangan pembangkang, Pakatan Rakyat merupakan pakatan parti politik yang paling kukuh berbanding segala bentuk kerjasama pembangkang yang lalu. Dari segi penyebaran maklumat, kemudahan telekomunikasi seperti telefon bimbit, internet, malah stesen radio yang lebih bebas, digunakan sepenuhnya untuk menangkis serangan jentera perintah kerajaan.

Continue reading at Merdeka Review.

Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia. Wawancara ini dijalankan oleh Lim Hong Siang dan Leong Khong di Hotel Armada pada 26 November 2010.

No comments: